Apple TV adalah platform penstriman video dari Apple. Sebelum memperkenalkan Apple TV+, Apple TV hanyalah platform untuk pengguna beli atau sewa kandungan-kandungan. Kini, Apple TV+ sudah menjadi semakin popular dengan banyak platform boleh menstrim dari platform ini seperti PlayStation, televisyen-televisyen Sony terpilih dan pelbagai pilihan televisyen pintar lain seperti Samsung atau LG.

Tetapi, platform Android TV masih lagi terhad termasuk juga dengan pengguna telefon Android – tiada pilihan untuk menstrim dari Apple TV. Untuk Android TV, hanya beberapa televisyen Sony sahaja boleh. Tidak lama lagi, akhirnya pengguna Android TV dapat menstrim Apple TV. Google telah bekerjasama dengan Apple untuk menjadikan perkara ini tidak mustahil. Tetapi, buat masa ini ia hanya terhad kepada pengguna Chromecast with Google TV sahaja.
Google akan mengedarkan kemaskini ini kepada pengguna Chromecast with Google TV pada awal tahun. Kemudian selepas itu secara berperingkat akan diedarkan kepada pengguna Android TV lain. Kemaskini ini mungkin akan memasang aplikasi Apple TV secara automatik atau membenarkan pengguna muat turun dari Play Store. Sama-sama kita nantikan.