Cari @ Amanz

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),Khairy Jamaluddin telah melancarkan dua inisiatif nasional iaitu Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE). Melalui kedua-dua inisiatif ini, peranan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara akan dilonjakkan lagi dalam pertumbuhan ekonomi bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

DSTIN 2021-2030 menggariskan 6 teras strategik; 20 strategi dan 46 inisiatif bagi memperhebatkan usaha-usaha pembangunan dan pengaplikasian teknologi tempatan dalam usaha mentransformasikan negara daripada pengguna teknologi kepada pembangun teknologi.

Antara yang menarik di bawah dua inisiatif nasional ini ialah rangka kerja menyeluruh untuk mengembangkan penggunaan teknologi rantaian blok, teknologi nano, robotik, kuasa hidrogen, kecerdasan buatan, litar bersepadu dan bahan termaju (advanced material). Ini adalah bagi memastikan kemajuan sains dan teknologi bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara tanpa bergantung kepada teknologi yang perlu diimport.

Teknologi tempatan akan diberikan peluang untuk dikembangkan menerusi beberapa inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini seperti  Sandbox Inovasi Nasional di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)

Terdapat juga perancangan untuk meningkat inovasi teknologi hijau seperti grid elektrik pintar, perindustrian yang lebih mesra alam dan pemantauan sungai serta rimba menggunakan peranti berhubung. Sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan sehingga 2022 di bawah Green Technology Financing Scheme 3.0. Pengumuman hari ini hadir tepat pada waktunya dengan masalah pencemaran sungai di Selangor baru-baru ini menyebabkan sumber bekalan air jutaan penduduk Lembah Klang terjejas.

Turut akan dilakukan kelak ialah integrasi teknologi robotik, dron dan kecerdasan buatan dalam industri pertanian menerusi FELDA. Pada belanjawan yang lalu, kerajaan mengumumkan dana RM10 juta untuk pertanian berasaskan peranti berhubung.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd