Ulasan Vivo Y20s – Penambahbaikan Yang Sekelumit Sahaja

Diterbitkan pada Dis 23, 2020. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Vivo Y20s, sebuah lagi telefon pintar dengan pemproses Snapdragon 460 untuk pasaran Malaysia. Sebut sahaja mengenai Vivo, kebanyakan peranti mereka sering dikaitkan dengan penampilan yang cantik dan anggun. Namun, terdapat segelintir pengguna yang meluahkan rasa kurang senang terhadap penawaran harga yang diletakkan oleh mereka untuk sejumlah produk. Ada yang berpendapat, kadang-kala penawaran harganya tidak setanding dengan spesifikasi.

Inilah apa yang berlaku, ketika awal-awal pengenalan Vivo Y20s. Harganya menjadi perdebatan ramai. Kerana, rata-rata berpendapat masih banyak lagi pilihan lain yang lebih berbaloi. Bahkan, secara keseluruhannya spesifikasi pada Vivo Y20s adalah mirip seperti Vivo Y20. Bezanya cuma, pada sokongan pengecasan lebih pantas dan memori lebih besar. Anda menyimpan hasrat untuk memilikinya sebuah? Teruskan membaca artikel ulasan ini untuk ketahui lebih lanjut mengenai pendapat kami untuk telefon pintar ini.

Spesifikasi Ringkas Peranti

Vivo Y20s
Skrin6.51″ IPS LCD, HD+, 60Hz
PemprosesSnapdragon 460 (11nm)
Cip4 x 1.8 GHz Kryo 240
4 x 1.6 GHz Kryo 240
Cip GrafikAdreno 610
RAM8 Gigabyte
Muatan Dalaman128 GB (microSD 256GB)
Kamera Utama13 + 2 + 2 Megapixel
(f/2.2 + f/2.4 + f/2.4) , [email protected]
Kamera Hadapan8 Megapixel (f/1.8) , [email protected]
Bateri5,000mAh
Pengecasan Pantas 18W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano + MicroSD
NFCTiada
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari & Imbasan Wajah
Harga JualanRM899

Paparan

Kami mulakan ulasan dengan paparan. Skrin bersaiz 6.51-inci IPS LCD dengan penawaran resolusi HD+ (720 x 1600) digunakan di sini. Baik, inilah antara topik yang menjadi perdebatan ramai sewaktu awal pengenalan peranti ini. Ia dikecam hebat dan rata-rata pengguna dilihat kurang berpuas hati dengan penawaran ini. Ramai berpendapat, ia tidak berbaloi dengan harga yang ditawarkan iaitu RM899. Sedangkan, masih ada pilihan lain yang dijual di bawah RM600 tetapi dilengkapi resolusi FHD+.

Seterusnya, ia juga masih mengekalkan rekaan seperti Vivo Y20 sebelum ini dengan paparan hadapan bertakuk kecil seumpama titisan air. Melaluinya, ia menempatkan kamera hadapan dengan sensor sebesar 8-Megapixel. Bezelnya juga kelihatan agak nipis pada bahagian sisi dan atas peranti. Tetapi, lain pula ceritanya pada bahagian bawah sebabnya Vivo Y20s mempunyai binaan dagu yang sangat tebal. Ia bagaimanapun, masih boleh diterima dan rasanya boleh dikatakan satu perkara biasa untuk sebuah peranti dalam kelas sebegini.

Selepas mengujinya dalam dengan lebih lanjut, kami mendapati prestasi skrin pada Vivo Y20s hanya di tahap sederhana sahaja. Kualiti warna yang sedikit pudar menyebabkan pengalaman untuk melihat kandungan agak terjejas. Bukan itu sahaja, kami akui kurang selesa dengan skrin HD+ yang digunakan ini. Ini mungkin disebabkan oleh sudah terbiasa dengan paparan peranti lain yang menggunakan skrin dengan resolusi lebih tinggi. Tambah mengecewakan apabila penggunaan di bawah sinaran matahari yang terang menjadikan paparan ini sukar untuk dilihat.

Rekaan

Menyentuh soal binaan, Vivo Y20s tiada bezanya dengan Vivo Y20. Ia bagaimanapun,boleh dikatakan sebuah telefon pintar yang direka dengan baik. Pada pendapat kami, binaannya di sini cukup seimbang – yang mana, ianya tidak terlalu berat mahupun ringan. Ini sekaligus menjadikan telefon pintar ini mudah sahaja untuk dibawa ke mana-mana tanpa sebarang masalah. Selain itu, rekaan tubuh Vivo Y20s yang ergonomik dan kukuh juga membuatkan ia selesa sahaja untuk dipegang walaupun pada jangka masa yang lama.

Apabila bercakap mengenai peranti dengan rekaan luaran yang menarik. Vivo juga antara jenama yang sinonim dengan penawaran ini. Contoh terkini yang boleh dilihat adalah Vivo Y20s sendiri. Konsep minimalis yang digunakan tidak sekadar ringkas. Tetapi, pada masa sama Vivo dilihat bijak memilih hiasan supaya telefon pintar ini berada dalam kelas tersendiri. Lihat sahaja panel belakang pada Vivo Y20s ini.

Meskipun, ia didatangkan dengan binaan berasaskan poli-karbonat. Namun, ia langsung tidak terasa murah sama sekali. Kami juga memuji cara Vivo memperkemaskan binaan ini yang kelihatan seolah-olah hadir dengan binaan berasaskan kaca. Seterusnya apabila diteliti, panel belakang ini turut memberikan sedikit pantulan cahaya yang menarik untuk dilihat. Cumanya, tidak ada sebarang perubahan warna yang dapat dilihat melaluinya.

Baiklah, cantik memang cantik. Tetapi, kami mahu anda tahu bahawa panel belakang ini sebenarnya agak licin. Malah lebih menjengkelkan, ia juga sangat mudah memerangkap kotoran cap jari. Sehinggakan ada satu ketika, kami terdapat mengelap panel belakang ini dengan kerap bagi membersihkan kotoran berkenaan.

Bergerak ke butang standard dan sambungan pula, kesemuanya direka dengan baik pada kedudukan yang ergonomik dan mudah dicapai. Sisi kanan terdapatnya butang laras suara dan butang kuasa – yang juga boleh digunakan sebagai pengimbas cap jari. Kemudian, talam SIM pula boleh ditemui pada sisi bertentangan.

Ruang ini menawarkan sehingga 3 slot berasingan yang membolehkan anda menggunakan kad mikroSD dan dwi-SIM secara serentak. Seterusnya, bicu audio 3.5mm, satu lubang kecil untuk mikrofon, port pengecasan mikroUSB dan pembesar suara mono pula diselitkan pada bahagian bawah peranti.

Prestasi

Bergerak ke prestasi, Vivo Y20s membawakan cip yang sama seperti Vivo Y20, Realme C15 dan Oppo A53 menerusi janaan cip Snapdragon 460. Ia merupakan cip lapan teras yang menggunakan binaan berasaskan 11nm. Ia juga menggunakan GPU yang sama seperti cip Snapdragon 662 iaitu Adreno 610. Selain, dilengkapi teknologi Multi-Turbo 3.0 dan mod Ultra Game untuk pengalaman permainan lebih emersif. Tiada pilihan lain untuk memori, sebaliknya ia hanya dilengkapi RAM 8GB dan storan dalaman 128GB. Seandainya ruangan ini masih tidak mencukupi, masih terdapatnya ruang tambahan sehingga had maksimum 256GB melalui kad microSD.

Beberapa ujian penanda aras juga sempat kami lakukan pada telefon pintar ini. Di mana, Vivo Y20s berjaya mencatatkan skor sebanyak 155,575 mata untuk ujian Antutu. Sementara, 255 mata untuk ujian satu teras dan 1,140 mata untuk ujian pelbagai teras pula menerusi penanda aras Geekbench.

Pada awalnya, telefon pintar ini dilihat memberikan prestasi yang lancar. Segala aktiviti harian seperti menatal, membuka, menutup dan muat-turun aplikasi dapat dilakukan dengan baik. Namun begitu, situasi ini mula berubah apabila terlalu banyak aplikasi dibuka dalam satu masa. Di sini, kami mula menyedari masalah lengah masa yang ketara mula berlaku.

Apabila tatalan dilakukan jelas kelihatan ianya terasa kurang lancar. Peralihan daripada satu aplikasi ke aplikasi yang lain juga kelihatan sedikit perlahan. Kemudian, lebih memburukkan keadaan ia tersangkut-sangkut dalam beberapa situasi. Untuk permua (permainan mudah alih) pula, pengalaman permainan yang lancar dan baik masih boleh dirasai. Tetapi, syaratnya anda disarankan untuk bermain pada tetapan grafik asas sahaja. Jika anda berharap lebih, kami hanya boleh katakan prestasinya agak mengecewakan.

Dalam erti kata mudah, Vivo Y20s ini boleh dikatakan tidak sesuai untuk mereka yang jenis permua tegar. Sebaliknya, sekadar menggunakannya untuk bermain secara berseronok boleh dikatakan memadai. Seterusnya, menggunakan Vivo Y20s sebagai peranti untuk media sosial dan melayari web juga adalah memandai. Sebabnya, ia masih mampu melakukan fungsi paling asas sebuah peranti pintar dengan baik.

Kamera

Seperti Vivo Y20, telefon pintar ini juga masih mengekalkan sokongan tri-kamera utama di belakang. Konfigurasinya juga masih sama menerusi tetapan 13-Megapixel untuk sensor utama. Kemudian diikuti oleh dua lagi lensa sebesar 2-Megapixel untuk sensor makro dan kedalaman. Ketiadaan lensa sudut-lebar di sini mendapat perhatian pengguna yang rata-rata mempersoalkan perkara terbabit. Tapi, mungkin Vivo mempunyai sebab tertentu mengapa mereka berbuat demikian.

Seterunya, keupayaan kamera peranti ini turut dilengkapi dengan sokongan PDAF, sokongan AI dan HDR. Selain turut kelihatan, beberapa tetapan pilihan yang disertakan juga sekadar asas sahaja. Ia termasuklah Panorama, Portrait Mode, Live Photo, Slo-Mo, Time-lapse, Profesional dan Document. Namun begitu, tiada mod malam khusus yang disertakan.

Dari segi kualiti, prestasi kamera Vivo Y20s juga berada di tahap sederhana. Boleh dikatakan, masih memadai untuk penggunaan harian. Tetapi, terdapat sebilangan bahagian yang perlu dikorbankan. Pada keadaan pencahayaan baik, kualiti gambar yang diambil kelihatan memuaskan. Melaluinya, penghasilan warna yang terang dan ketajaman yang memuaskan dapat dilihat. Fungsi HDR juga dilihat sedikit sebanyak membantu dalam meningkatkan perincian pada imej.

Namun begitu, berbeza pula ceritanya dengan hasil gambar pada pencahayaan yang rendah. Hasil gambar nampak kelam dan warna juga dilihat kurang menyerlah. Selain itu, butiran pada imej juga dilihat kurang memuaskan. Tambah mengecewakan lagi apabila sumber cahaya dalam sesetengah keadaan dilihat menjadi terlalu terang.

Dari segi fungsi video, Vivo Y20s hanya menyajikan rakaman dengan tetapan tertinggi 1080p pada 30fps. Selain, ia juga tidak mempunyai apa-apa sokongan untuk penstabilan.

Bateri

Vivo Y20s dibekalkan kapasiti bateri yang sama seperti Vivo Y20 iaitu sebesar 5,000mAh. Melaluinya, ia berjaya mencatatkan bacaan Screen-On-Time yang baik sekitar 8 jam untuk penggunaan sepanjang hari.

Tetapi, apa yang menjadi perdebatan ramai adalah port sambungannya. Di mana, ia adalah sejenis mikroUSB yang boleh dikatakan agak ketinggalan untuk masa sekarang. Sedangkan, sejumlah pesaing lain dalam kelas yang sama sudah mula berlumba-lumba menggunakan sambungan USB-C.

Untuk pengecasan semula, Vivo Y20s bergantung kepada pengecasan 18W yang mana lebih baik berbanding Vivo Y20. Melaluinya, ia dapat mengecas penuh bateri telefon pintar ini sekitar 2 jam lebih.

Perbandingan Pesaing Peranti

Vivo Y20sRealme C15Oppo A53
6.51″ IPS LCD, 720 x 1600, 60Hz (270 PPI)6.5″ IPS LCD, 720 x 1600, 60Hz (270 PPI)6.5″ IPS LCD, 720 x 1600, 90Hz (269PPI)
Snapdragon 460 (11 nm)
4 x 1.8 GHz Kryo 240
4 x 1.6 GHz Kryo 240
Snapdragon 460 (11 nm)
4 x 1.8 GHz Kryo 240
4 x 1.6 GHz Kryo 240
Snapdragon 460 (11 nm)
4 x 1.8 GHz Kryo 240
4 x 1.6 GHz Kryo 240
Adreno 610Adreno 610Adreno 610
8 Gigabyte4 Gigabyte4 Gigabyte
128 Gigabyte64 / 128 Gigabyte64 Gigabyte
Kamera Utama :
13 MP (f/2.2) – (Utama)
2 MP (f/2.4) – (Makro)
2 MP (f/2.4) – (Kedalaman)
Kamera Utama :
13MP (f/2.2) – (Utama)
8MP (f/2.25) – (Ultra Lebar)
2MP (f/2.4) – (B&W)
2MP (f/2.4) – (Retro)
Kamera Utama :
13MP (f/2.2) – (Utama)
2MP (f/2.4) – (Kedalaman)
2MP (f/2.4) – (Makro)
Kamera Hadapan
8-Megapixel (f/1.8)
Kamera Hadapan
8-Megapixel (f/2.0)
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.0
Tiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis Air
Bicu Audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Obsidian Black, Purist Blue Seagull Silver, Marine BlueElectric Black, Fancy Blue
5,000mAh (Pengecasan 18W)6,000mAh (Pengecasan 18W)5,000mAh (Pengecasan 10W)
RM899Bermula RM599RM699

Kesimpulan

Apa yang dapat kami simpulkan di sini, Vivo Y20s sememangnya mempunyai penampilan yang baik. Ia nampak cantik dan elegan dalam kelas yang tersendiri. Tetapi, anda perlu berkompromi dengan prestasinya. Sebab, ia hanya sesuai untuk penggunaan biasa. Kiranya, anda yang tidak menggunakan telefon pintar dengan kerap.

Bagaimanapun, kita sebenarnya masih ada lagi sejumlah pilihan model lain yang lebih berbaloi. Misalnya seperti Xiaomi dan Realme. Tapi, kita juga sedia tahu yang mana Vivo sememangnya mempunyai target dan kelompok peminat yang tersendiri. Jadi, pilihan adalah di tangan sendiri. Jadilah, pengguna yang bijak dan tentukan keperluan terlebih dahulu sebelum membeli.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan Vivo Y20s , ia dijual pada harga RM899 untuk seunit. Tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Obsidian Black dan Purist Blue, ia boleh dibeli menerusi sejumlah platform berbeza termasuk kedai atas talian Vivo, Shopee, Lazada serta sejumlah pengedar sah mereka.

Pro

  • Hadir dengan rekaan yang menawan
  • Menawarkan prestasi harian baik – penggunaan biasa
  • Keupayaan kamera yang baik pada pencahayaan cukup
  • Ketahanan bateri yang baik

Kontra

  • Warna pada skrin sedikit pudar
  • Prestasi permainan yang lancar dengan tetapan grafik asas sahaja
  • Port sambungan MikroUSB
  • Pengecasan semula sedikit mengambil masa

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami