Airbus telahpun memperlihatkan konsep tiga pesawat kuasa hidrogen emisi sifar mereka pada September lalu. Ketiga-tiga pesawat dibangunkan di bawah projek ZEROe mereka bagi mengubah dunia penerbangan awam menjadi lebih mesra alam sekitar.
Hari ini Airbus memperlihatkan sebuah lagi konsep pesawat yang menggunakan bahan api hidrogen. Pesawat konsep ZEROe dilengkapi enam enjin elektrik turbobrop yang menggunakan bahan api hidrogen. Uniknya di sini ialah pod bahan api disambungkan terus pada enjin. Tambah Airbus lagi sekiranya berlaku kerosakan, pod boleh ditanggalkan dengan mudah kerana rekaan modular yang digunakan.
Dengan bahan api diletakkan terus ke enjin, terdapat lebih banyak ruang kosong pada badan pesawat untuk penumpang ataupun kargo. Pada waktu yang sama sayap yang lebih nipis boleh digunakan. Dalam ujian yang dilakukan Boeing sebelum ini, pesawat dengan sayap nipis mempunyai rintangan udara yang lebih rendah bagi mengurangkan penggunaan bahan api.
Walaupun pesawat terkini ini masih lagi sekadar konsep, Airbus merancang untuk menghasilkan salah satu dari empat konsep ZEROe mereka bermula 2025.