SKMM Akan Menilai Semula Kriteria Pelan Pembangunan Pencawang Telekomunikasi Dibawah Program JENDELA

Diterbitkan pada Dis 24, 2020. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada minggu yang lalu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengeluarkan laporan JENDELA pertama untuk suku terakhir tahun 2020 ini, yang memperlihatkan pencapaian program tersebut.

Walaupun laporan tersebut memperlihatkan pencapaian yang baik, terdapat beberapa syarikat telekomunikasi tempatan yang tidak sempat melengkapkan bahagian mereka dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Hari ini, pihak SKMM telah mengeluarkan satu kenyataan baru dimana mereka nampaknya akan mengkaji semula kriteria kelayakan dan juga skop kerja syarikat-syarikat telekomunikasi yang ingin membantu membangunkan infrastruktur telekomunikasi negara, termasuklah pembangunan infrastruktur gentian optik dan juga menara-menara pencawang 4G.

Sebelum ini, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan telahpun menyerahkan borang Registration of Interest pada 3 Disember lalu, dimana mereka kemudiannya menaiktarafkan infrastruktur sedia ada, dan membangunkan pencawang baru bagi lokasi-lokasi yang memerlukannya.

Selepas kajian semula kriteria dan skop kerja ini lengkap, pihak SKMM akan menghantar semula jemputan untuk menghantar pelan mereka berdasarkan kriteria baru ini.

Syarikat-syarikat yang masih lagi mahu bersama membangunkan infrastruktur telekomunikasi negara bolehlah menghantar draf pelan mereka mengikut piawaian baru yang diberikan.

SKMM akan mengeluarkan jemputan baru pada 20 Januari 2021, dimana syarikat-syarikat tersebut haruslah menjawab semula pada 2 Februari 2021 dengan jawapan samada mereka masih akan meneruskan pembangunan pencawang-pencawang ini.

Draf pelan kesalinghubungan sejagat daripada syarikat-syarikat telekomunikasi ini dijangka akan dihantar ke pihak SKMM untuk diteliti pada 30 April 2021.

Kami mendapat jawapan daripada pihak SKMM berkenaan penilaian semula kriteria dan skop kerja ini. Menurut mereka, ia dilakukan untuk membolehkan lebih banyak syarikat telekomunikasi tempatan untuk mengambil bahagian dalam fasa pembangunan rangkaian telekomunikasi negara.

Dengan ini, syarikat-syarikat telekomunikasi kecil dan besar boleh membantu dalam meningkatkan lagi capaian dan mutu rangkaian dalam kapasiti mereka supaya semua rakyat Malaysia boleh menikmati sambungan internet yang pantas dengan lebih cepat.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami