Matahari Buatan Korea Berjaya Diaktifkan Selama 20 Saat – Suhu Melangkaui 100 Juta Darjah Celcius

Matahari Buatan Korea Berjaya Diaktifkan Selama 20 Saat – Suhu Melangkaui 100 Juta Darjah Celcius

Diterbitkan pada Dis 28, 2020 oleh .

Dua tahun yang lalu, Hefei Institutes of Physical Science of the Chinese Academy of Sciences (CASHIPS) telah membangunkan matahari buatan manusia mereka sendiri yang dinamakan Experimental Advanced Superconducting Tokamak (EAST) yang dilihat telah beroperasi dengan suhu setinggi 100 juta darjah Celcius, iaitu enam kali lebih panas berbanding dengan matahari sebenar.

Baru-baru ini, Korea Institute of Fusion Energy (KFE) bersama-sama dengan Seoul National University dan Columbia University of United States juga telah mengumumkan bahawa matahari buatan mereka, Korea Superconducting Tokamak Advanced Research (KSTAR) juga telah berjaya diaktifkan dan mencatatkan suhu melangkaui 100 juta darjah Celcius selama 20 saat.

Ini bukanlah kali pertama KSTAR diaktifkan, tetapi pencapaian kali ini cukup bermakna kerana ia adalah kali pertama mana-mana institut pernah mengaktifkan matahari buatan mereka selama lebih dari 10 saat.

Perkara ini boleh dilakukan oleh kerana KFE telah berjaya memperbaiki rekaan mod Internal Transport Barrier, iaitu yang boleh mengekalkan keadaan plasma untuk masa yang lebih lama.

KFE menjangkakan bahawa mereka boleh mengekalkan pengaktifan matahari buatan ini selama 300 saat pada suhu melangkaui 100 juta darjah Celcius menjelang 2025 kelak.

KFE juga akan menjalankan lebih banyak eksperimen dengan organisasi-organisasi yang lain dimana hasil yang didapati daripada eksperimen-eksperimen ini akan dikongsi di acara IAEA Fusion Energy Conference pada bulan Mei tahun hadapan.


Paling Popular