Xiaomi Mi 11 Kini Rasmi – Snapdragon 888, Skrin 2K AMOLED, Kamera 108MP, Audio Harman Kardon

Xiaomi Mi 11 Kini Rasmi – Snapdragon 888, Skrin 2K AMOLED, Kamera 108MP, Audio Harman Kardon

Diterbitkan pada Dis 28, 2020 oleh .

Xiaomi hari ini telah memperkenalkan telefon pintar mercu terbaru mereka, iaitu Xiaomi Mi 11. Telefon pintar ini hadir dengan sejumlah ciri-ciri menarik, dan menjadi telefon pintar terawal dengan Snapdragon 888.

Xiaomi Mi 11 hadir dengan skrin 6.81-inci AMOLED, dan menariknya ia turut hadir dengan sokongan paparan 2K. Xiaomi turut menekankan yang mana peranti ini hadir dengan sokongan paparan yang sangat berkualiti, dan menerima skor tertinggi daripada DisplayMate – termasuk menyokong paparan pada kadar segar semula 120Hz, serta menyokong paparan HDR10+.

Untuk sokongan audio pula, ia hadir dengan pengoptimasian khusus oleh Harman/Kardon. Dengan ini, Mi 11 menjanjikan kualiti audio yang baik ketika anda menikmati media melaluinya – tidak kira audio, video atau sedang memainkan permua melaluinya.

Menjana telefon pintar ini adalah cip pemprosesan Snapdragon 888 yang hadir dengan binaan 5nm. Xiaomi turut mengatakan ia mencatatkan skor AnTuTu sebanyak 745,942. Melengkapkan ia juga adalah memori berasaskan LPDDR5, serta sokongan WiFi6.

Dari segi penawaran bateri, ia hadir dengan bateri berkapasiti 4600mAh, yang menawarkan sokongan pengecasan pantas nirwayar 50W – antara yang terpantas di pasaran pada hari ini. Ia turut menawarkan pengecasan berwayar sepantas 55W, selain pengecasan berbalik 10W.

Untuk rakaman gambar, Xiaomi menyertakan sensor utama 108-megapixel dibelakang, yang turut menyertakan sokongan OIS bersama dengannya. Xiaomi mengatakan kamera pada peranti ini bukan sahaja menawarkan rakaman gambar yang cantik, tetapi video yang kemas juga. Melengkapkan ia juga adalah sensor kedua 13-megapixel ultra-lebar. Sensor ketiga adalah berbentuk sensor untuk rakaman makro, 5-megapixel.

Di China, Xiaomi Mi 11 ditawarkan pada harga 3999 Yuan iaitu sekitar RM2480 untuk model dengan variasi 8GB RAM dan juga 128GB storan UFS 3.1. Pengenalan Mi 11 juga membuatkan ia menjadi peranti pertama Xiaomi yang hadir tanpa pengecas secara terbina dalam kotak. Tetapi untuk penawaran ini, Xiaomi turut membolehkan pengguna mendapatkan pengecas bersama pembelian secara percuma tanpa kos tambahan – jikalau memerlukannya.



Paling Popular