Xiaomi Mi 11 akhirnya dilancarkan semalam sebagai peranti pertama dunia dengan cip Snapdragon 888. Apa yang menarik dengan pelancaran peranti ini adalah mereka hadir dengan dua variasi, satu yang ada pengecas dan satu lagi yang tiada pengecas dan ia dijual pada harga yang sama. Peranti ini hadir dengan skrin 2K, sistem audio Harmon/Kardon, kamera 108MP, bateri 4600mAh dan banyak lagi spesifikasi yang membuatkan orang ramai teruja.
Peranti ini ketika dilancarkan menjalankan sistem operasi MIUI terbaru, iaitu MIUI 12.5 berasaskan Android 11. Xiaomi melancarkan MIUI 11 dan MIUI 12 pada tahun yang sama, jadi tidak terkejut jika MIUI 13 ditangguhkan dan fokus kepada kemaskini kecil yang menjadikan MIUI 12.5 ini lebih hebat. Dalam artikel ini, kami senaraikan enam perkara menarik yang ada pada MIUI 12.5.
1. Tidak Banyak Aplikasi Gendut
Xiaomi membandingkan MIUI 12.5 mereka dengan banyak pesaing termasuk iOS 14, EMUI 11, Color OS 11 dan banyak lagi. Kesemua sistem operasi milik pesaing mempunyai 11 sehingga 20 aplikasi gendut. Aplikasi gendut adalah aplikasi yang hadir terpasang dalam sistem dan ia tidak boleh dibuang dan/atau hanya boleh dimatikan. Tetapi, MIUI 12.5 hanya mempunyai 9 aplikasi terpasang sahaja.
2. Prestasi Yang Lebih Hebat
MIUI 12.5 kini mempunyai prestasi yang lebih hebat, pantas dan akan memuaskan pengguna. Kini MIUI hanya menggunakan 20% teras lebih rendah, 35% kurang penggunaan memori untuk aplikasi latar serta 25% kurang penggunaan kuasa. Menurut Xiaomi, “MIUI Light Cone Motion Effect Architecture” yang digunakan pada MIUI 12 kini mempunyai bahagian tersendiri untuk kawalan gestur dan penjadualan keutamaan dengan peningkatan masa tindak balas. Kemudian kuasa pengkomputeran untuk enjin render kini 20 kali lebih hebat. Tidak lupa juga peralihan animasi yang lebih pantas, cantik dan lancar.
3. Nada Dering Dan Getaran Haptik
Seperti Huawei dan Oppo membawa fungsi getaran haptik dan nada dering baharu, Xiaomi turut ingin menawarkan perkara yang lebih kurang sama. Untuk nada dering, Xiaomi bawakan bunyi haiwan dari Hutan Hujan Amerika Selatan, Australia, padang rumput Afrika Timur, dan Lingkaran Artik. Terdapat 120 bunyi haiwan berbeza yang dihasilkan dengan kerjasama pakar haiwan, pakar bunyi, ahli zoologi. Pengguna akan mempunyai banyak pilihan nada dering dengan tema alam semula jadi.
Untuk sistem pula, bunyi-bunyi yang ditawarkan adalah berdasarkan elemen kayu, pasir dan air. Mana-mana interaksi antara pengguna dan antaramuka peranti yang ada bunyi akan mengeluarkan bunyi yang menarik seperti notifikasi, saat di jam randik berakhir, penggera dan banyak lagi.
Setiap bunyi ini turut diintegrasikan dengan sistem getaran haptik yang lebih baik dan menjanjikan getaran yang realistik serta tidak memakan banyak kuasa agar bateri lebih jimat.
4. Super Wallpaper Sebagai Imej Latar Belakang Bergerak
Dalam MIUI 12, Xiaomi memperkenalkan Super Wallpaper – iaitu imej latar belakang bergerak yang dinamik dan cantik. Dalam MIUI 12.5, Xiaomi bawakan beberapa tema baharu seperti Snow Mountain di Gunung Siguniang atau pergunungan Qionglai di China barat. Xiaomi mendakwa mereka merakam sendiri selama 24 jam untuk mendapatkan kesan perubahan langit dari pagi ke malam.
Jadi apabila pengguna memilih untuk menggunakan imej latar belakang ini, masa pagi ke siang ia akan memperlihatkan langit yang berubah dari gelap ke cerah dan ketika tiba petang ke malam ia akan berubah ke senja, malap dan semakin gelap seakan pengguna sendiri berada di sana dan membuat rakaman timelapse.
Kelak pada suku pertama 2021 akan ada lebih banyak gambar latar ditawarkan seperti di Shipwreck Bay, Navagio Beach.
4. Privasi Yang Lebih Hebat Dan Selamat
Xiaomi kali ini memecahkan privasi ke empat bahagian iaitu perlindungan papan klip, fail storan, (mekanisme Sandbox), pelayar, dan lokasi. Untuk papan klip, MIUI 12.5 boleh memaklumkan pengguna sama ada sesuatu aplikasi itu sendang membaca kandungan papan klip atau tidak. Kemudian untuk lokasi Xiaomi memperkenalkan Fuzzy Location yang boleh menyembunyikan lokasi sebenar pengguna dan meletakkan beberapa meter jauh dari lokasi sebenar. Lokasi yang tepat adalah 2-3 meter radius dan pengguna boleh pilih salah satu lokasi mana ingin digunakan untuk perlindungan diri.
Untuk mekanisme Sandbox pada fail storan, ia adalah sistem perlindungan bagi mengelakkan data tertiris. Pada MIUI 12.5 untuk fail-fail gambar contohnya, sistem boleh mengasingkan data dan imej agar aplikasi tidak mempunyai akses penuh dan hanya akses yang diperlukan sahaja. Akhir sekali untuk pelayar web, Xiaomi menawarkan perlindungan pada aplikasi pelayar web mereka agar setiap laman web yang dilayari tidak boleh mengakses data pengguna. Menurut Xiaomi, sebanyak 53% daripada 1000 laman web di China mengakses data pengguna.
5. MIUI Notes
Xiaomi turut mengemaskini aplikasi nota mereka daripada Notes kini MIUI Notes. Perkara yang menarik dalam aplikasi nota ini adalah dengan satu klik pengguna boleh menjana peta minda dari nota-nota yang dicatat. Pengguna turut boleh melalukan lakaran seperti melukis dengan kesa grafiti atau sapuan berus dari empat berus berbeza.
Selanjutnya, pengguna turut boleh menggunakan aplikasi nota dalam tetingkap kecil untuk akses pantas. Tetapan menaip dalam aplikasi nota juga kini mempunyai sistem grid agar catatan kelihatan kemas dan selesa dibaca.
6. MIUI+
Apple sudah boleh menjawab panggilan telefon dari MacBook, Huawei Share membenarkan pengguna akses kandungan peranti dari Huawei MateBook, Your Phone boleh membuka enam aplikasi Android jika menggunakan peranti Samsung, tetapi Xiaomi belum. Sempena pelancaran Mi 11 dan MIUI 12.5, Xiaomi memperkenalkan MIUI+ yang mana membenarkan pengguna mengakses kandungan peranti/mengawal peranti dari komputer riba Xiaomi.
Pengguna boleh melihat notifikasi, buka aplikasi, salin dan tampal dari papan klip, akses tangkapan layar serta melayari laman web dari peranti. Kemudian aplikasi Mi File Manager dan MIUI Notes akan mempunyai antaramuka untuk komputer seakan perisian penuh dan turut boleh dikawal dengan papan kekunci dan tetikus.
Tetapi MIUI+ masih lagi beta dan Xiaomi menyarankan pengguna menggunakan Mi Notebook Pro 15 Enhanced Edition, Mi Notebook Pro 15.6″ 2020, Redmi G gaming notebook, RedmiBook 16, RedmiBook 14 II atau RedmiBook Air 13. Tetapi ia tidak menggunakan apa sebarang NFC, jadi sepatutnya mana-mana komputer Windows boleh menggunakannya.
Walaupun tidak banyak perkara baru diperkenalkan dan kemaksini ini juga adalah satu kemaskini kecil, menurut Xiaomi ia masih dikira sebagai satu sistem operasi yang penuh. MIUI 12.5 hanya akan ditawarkan dalam bentuyk beta dan terhad di China sahaja. Versi stabil di China juga hanya akan diedarkan pada bulan April 2021, jadi pengguna global akan menerima kemaskini ini sedikit lebih lewat.