Carian
Apple Dianugerahkan Paten Papan Kekunci Dengan Simbol Yang Boleh Diubah Oleh Pengguna
December 30, 2020 Effi Saharudin

Steve Jobs berkata sebab mengapa iPhone menggunakan skrin sesentuh sepenuhnya adalah bagi membolehkan pelbagai konfigurasi butang diubah dengan bebas mengikut aplikasi. Papan kekunci pada telefon pintar misalnya boleh diubah dengan mudah dari susunan QWERTY ke DVORAK. Ini mustahil dilakukan pada komputer riba dengan kunci fizikal kekal.

Tetapi Apple ingin menyelesaikan isu ini dengan mempatenkan papan kekunci dengan glif atau simbol yang boleh diubah sendiri oleh pengguna. Kini mereka telah dianugerahkan paten untuk rekaan ini oleh Jabatan Paten dan Tanda Dagang A.S.

Setiap butang papan kekunci akan mempunyai panel OLED terbina. Selain membolehkan kekunci diubah dari QWERTY ke DVORAK dengan mudah ia turut boleh menunjukkan huruf besar dan huruf kecil atau singkatan pantas apabila menggunakan perisian tertentu seperti Photoshop misalnya.

Ia juga membuka potensi papan kekunci MacBook yang turut berubah mengikut bahasa dan tidak terhad kepada abjad rumi. Paparan berubah mengikut konteks ketika sesi permainan video juga mampu dilakukan. Kewujudan paten tidak bermakna produk akan dihasilkan. Sebelum ini mereka mempatenkan papan kekunci dengan permukaan kaca tahan lasak dan juga papan kekunci boleh tanggal. Paten papan kekunci boleh tanggal ini kemudiannya digunakan pada peranti Surface terlebih dahulu menerusi persetujuan di antara kedua-dua syarikat.

Komen