Tahun lalu Apple memfailkan saman ke atas firma keselamatan Corellium yang didakwa menggunakan harta intelek mereka tanpa kebenaran. Menerusi Corellium, sebuah iPhone maya dapat digunakan pada komputer desktop bagi mencari pelbagai pepijat dan kerentanan sekuriti yang wujud.
Tetapi mahkamah di Florida telah menolak saman yang difailkan atas sebab ia adalah penggunaan yang dibenarkan (fair use) mengikut undang-undang hak cipta Amerika Syarikat. Mahkamah turut mengatakan Corellium bukan mencuri sistem operasi iOS untuk menghasilkan sistem operasi baru tetapi sebaliknya adalah membantu meningkatkan tahap keselamatan kesemua pengguna iPhone. Selain iOS, Corellium juga boleh menghasilkan pelbagai peranti Android secara maya di desktop bagi tujuan keselamatan.
Apple pula berkata perisian Corellium adalah berbahaya kerana boleh digunakan oleh penggodam sekiranya jatuh ke tangan individu yang tidak dikehendaki. Apple masih belum memberikan kenyataan rasmi mengenai keputusan mahkamah ini.
Selain menghasilkan perisian mencari pepijat pada iOS, Corellium juga membangunkan Project Sandcastle yang membolehkan Android dipasang pada iPhone. Namun begitu Project Sandcastle hanya terhad kepada peranti iPhone 5S hinggalah iPhone 7 sahaja kerana memerlukan jailbreak checkra1n yang telahpun ditampal Apple.