Cari @ Amanz

Beberapa bulan yang lalu, kami ada melaporkan bahawa Apple telah membuang sekurang-kurangnya 47,000 aplikasi permua (permainan mudah-alih) dari App Store di China kerana tidak memiliki lesen untuk menaikkan aplikasi-aplikasi ini di gedung aplikasi tersebut.

Terkini, Reuters telah melaporkan bahawa Apple baru sahaja membuang 39 ribu lagi aplikasi daripada App Store mereka di China, tetapi kali ini, kesemua pembuangan aplikasi ini berlaku dalam masa sehari sahaja.

Kerajaan China telah mengetatkan undang-undang penawaran permua untuk platform-platform mudah-alih di negara tersebut, dimana pihak kerajaan bersama-sama dengan Apple akan mengelola penawaran permua untuk memastikan ia menepati undang-undang negara tersebut.

Ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana pada pertengahan tahun ini, Apple telahpun memberi amaran kepada pembangun permainan untuk memastikan bahawa mereka mendapat kebenaran daripada kerajaan China untuk terus membolehkan permua-permua mereka boleh ditawarkan di App Store, atau ia akan dibuang pada penghujung tahun ini.

Nampaknya banyak permua yang tidak melepasi piawaian kerajaan China, dan kini sudahpun tiba masanya mereka dibuang dari gedung aplikasi Apple di negara tersebut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd