Kemampuan Perisian Swapandu Kereta Tesla Diuji Dari San Francisco Ke Los Angeles

Diterbitkan pada Jan 4, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa bulan yang lalu kami ada melaporkan bahawa Tesla telah mula mengeluarkan kemaskini untuk sistem swapandu pada kenderaan-kenderaan mereka kepada pengguna Tesla terpilih, dimana ia kemudiannya akan dikembangkan kepada lebih ramai orang.

Terkini, perisian swapandu tersebut telahpun hadir untuk lebih ramai pengguna kenderaan Tesla, dan orang ramai telah mula menguji teknologi swapandu ini, yang dinamakan Full Self Driving (FSD).

Whole Mars Catalog, seorang Youtuber yang sering mengeluarkan video mengenai kenderaan Tesla baru-baru ini telah menguji sistem FSD ini dari bandar San Francisco sehinggalah ke Los Angeles.

Sepanjang perjalanan tersebut, Whole Mars Catalog langsung tidak memegang roda stereng kereta Tesla Model 3 beliau, kecuali untuk satu ketika untuk mengelak serpihan di lebuhraya.

Menurut beliau, ia dilakukan kerana masih tidak mempercayai keupayaan sistem FSD ini untuk mengelak butiran-butiran seperti itu buat masa ini. Menariknya, sistem ini mampu membuat keputusan untuk memerlahankan kenderaan, menukar lorong dan memberi laluan kepada kenderaan lain apabila diperlukan dengan sendiri.

Walaupun ini adalah satu pencapaian yang sangat baik buat Tesla, dimana seseorang secara teknikalknya boleh membiarkan sahaja kecerdasan buatan sebuah kereta, terdapat faktor-faktor lain seperti keadaan cuaca yang sentiasa cerah di California yang membantu menjayakan eksperimen ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami