Samsung hari ini memperkenalkan siri televisyen baru mereka untuk tahun 2021. Menariknya, Samsung kini menaik-taraf penggunaan panel pada siri televisyen 4K dan 8K untuk tahun 2021, dan menggunakan teknologi mini-LED untuknya.
Sammsung sendiri memanggil nama paparan ini sebagai Neo QLED. Samsung mengatakan penggunaannya menawarkan kadar luminans kepada 12-bit dengan 4096 langkah, sekaligus membuatkan paparan lebih jitu, selain pengalaman HDR yang lebih baik.
Pada masa yang sama, dengan penggunaan cip pemprosesan serta pengoptimasian khusus, paparan pada panel skrin ini lebih baik pada resolusi 4K dan 8K, walaupun kualiti inputnya berbeza.
Melengkapkan penggunaan panel juga adalah sokongan rekaan nirbingkai – sekaligus menjadikan paparan panel yang sepenuhnya, serta memudahkan anda memenuhkan ruang tamu anda dengan kemas.
Televisyen berasaskan panel mini-LED ini juga turut menyertakan sejumlah ciri pintar, termasuk sokongan menghubungkan Google Duo, ciri-ciri untuk latihan kecergasan, selain memudahkan televisyen dihubungkan ke PC.
Buat masa ini, Samsung masih belumm berkongsi tarikh pelancaran dan harga jualannya di Malaysia.