Cari @ Amanz

Jika sebelum ini, pakej Celcom Xpax XP Lite hanya hadir dengan penawaran penstriman YouTube tanpa had. Terkini, ia telah dikemaskini dengan penawaran baharu yang memberikan akses tanpa had untuk aplikasi pemesejan seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan Wechat pula. Difahamkan, penawaran ini tersedia secara automatik untuk semua pengguna pelan XP Lite yang turut melanggan L serta M Pass dan berkuatkuasa bermula hari ini.

Menurut Celcom, pelanggan boleh log masuk ke aplikasi Celcom Life untuk mengesahkan tawaran baharu ini, sebaik sahaja mereka menerima pemberitahuan SMS berkaitan naik-taraf ini. Menurut Celcom juga, penawaran tanpa had ini hanya ditawarkan pada kelajuan sehingga 6Mbps untuk pakej L Pass. Sementara, pakej langganan M Pass pula ditawarkan sehingga 3Mbps sahaja.

Pelan Xpax XP Lite ditawarkan pada harga RM28/bulan – yang terdiri dengan penawaran data internet sebanyak 1GB dan panggilan tanpa had ke semua rangkaian domestik. Ia bagaimanapun, boleh dinaik taraf dengan dua pilihan variasi pas tambahan berbeza yang boleh dilanggan bersama – iaitu XP Lite + M Pass pada harga RM38/bulan atau XP Lite + L Pass pada harga RM58/bulan. Kelebihan pada XP Lite + L Pass juga membolehkan anda membeli beberapa peranti pintar pada harga lebih murah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd