Sejak 2016 Samsung menggunakan C-Lab sebagai medan menyokong projek berinovasi di kalangan kakitangan mereka. Sempena CES 2021, mereka mengumumkan beberapa lagi projek menarik yang telah disokong.

EZCal ialah aplikasi telefon pintar yang membantu menala paparan skrin televisyen pintar di rumah supaya ia setanding dengan paparan imej di panggung wayang. Dengan panggung wayang masih ditutup, aplikasi ini sekurang-kurangnya dapat memastikan visual filem di rumah menghampiri visi asal pembikin filem.

Seterusnya ialah Scan&Dive yang mengesan jenis fabrik sebelum memberikan saranan mengenai penjagaan dan cucian. Tidak ramai pengguna memahami label pada pakaian dan akibatnya ia rosak apabila tidak dibasuh dengan betul. Label juga mungkin telah lusuh selepas sekian lama. Dengan aplikasi dan pengesan khas Scan&Dive, proses penjagaan fabrik dipermudahkan.

Turut diperlihatkan ialah aplikasi Food&Sommelier yang menggunakan kecerdasan buatan untuk memadankan makanan dengan wain. Sekali lagi aplikasi dihasilkan kerana tidak ramai boleh pergi ke restoran dan khidmat pakar sommelier tiada di rumah. Akhir sekali ialah Air Pocket yang menawarkan storan oksigen mudah alih untuk bernafas apabila menggunakan pelitup muka.

Ini hanya sebahagian dari puluhan projek di bawah C-Lab yang diperlihatkan sempena CES 2021. Sebelum ini kami laporkan EDKpop yang menawarkan kelas atas talian profesional untuk menjadi artis kpop yang turut menerima dana dari Samsung.