Oppo Reno5 – sebuah lagi peranti terkini daripada Oppo di bawah siri Reno. Siri kali ini dikatakan turut memfokuskan kepada keupayaan kamera lebih baik – dengan menyertakan perisian baharu untuk serlahkan lagi bakat fotografi pengguna. Melaluinya, sokongan sistem kuad-kamera utama masih menjadi pilihan Oppo. Tetapi, penawaran sensor utama kini dipertingkatkan kepada 64-Megapixel.

Dalam pada itu, kemasan model ini juga pada pandangan kami menawarkan keistimewaan yang meletakkannya dalam kelas tersendiri – kerana Oppo dilihat mementingkan nilai eksklusif padanya. Jika sebelum ini, kami hanya berkongsi secara kasar mengenai peranti pintar ini. Kali ini, kami akan berkongsi lebih lanjut mengenai butirannya – termasuklah berkaitan penambahbaikan dan spesifikasi secara khusus.
Bagaimanapun, artikel ini hanya memfokuskan kepada pandang pertama sahaja. Oleh itu, perkongsian mengenai pengalaman penggunaan mungkin agak terhad dan pengalaman lebih mendalam akan kami kongsikan menerusi artikel ulasan penuh akan datang.
Spesifikasi Ringkas Peranti :
Oppo Reno5 | |
---|---|
Jenis | Peranti Pintar |
Paparan | 6.4″ FHD+ AMOLED, 90Hz |
Pemproses | Snapdragon 765G (7nm) |
Cip | 1 x 2.4 GHz Kryo 475 Prime 1 x 2.2 GHz Kryo 475 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 475 Silver |
Cip Grafik | Adreno 620 |
RAM | 8GB ( LPDDR4X ) |
Muatan Dalaman | 128GB (UFS2.1) |
Kamera Utama | 64 MP ( f/1.7 ) – (Utama) 8 MP ( f/2.2 ) – (Sudut-Lebar) 2 MP ( f/2.4 ) – (Makro) 2 MP ( f/2.4 ) – (Mono) |
Kamera Depan | 32 MP |
Bateri | 4300mAh + 65W SuperVOOC2.0 |
Sim / Telefoni | Nano SIM + Nano SIM |
Ketahanan Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1,899 |
Rekaan :
Mesra kami ingatkan, unit Oppo Reno5 dalam artikel ini adalah model versi standard. Jika dilihat, tidak banyak perbezaan fizikal antara Oppo Reno5 dengan pendahulunya, Oppo Reno4 – lebih-lebih lagi pada panel belakang. Oppo Reno5 bakal hadir ke pasaran tempatan dengan dua pilihan warna iaitu Starry Black – yang mana panel belakangnya dihiasi kemasan warna hitam secara menyeluruh.

Kemudian, satu lagi adalah Galactic Silver – seperti unit yang kami terima dalam artikel ini. Ia dikatakan memiliki kelebihan istimewa yang menggunakan proses ‘Diamond Spectrum‘ untuk membuatkan panel belakang matte ini menjadi kemasan berkilauan. Lebih menarik, ia juga boleh menghasilkan pantulan warna berbeza yang cukup cantik mengikut sudut pandangan pengguna.
Melaluinya juga, panel belakang ini langsung tidak terasa licin. Bahkan, kami akui tertarik dengan konsep rona lembut yang cuba diketengahkan oleh Oppo. Nampak cantik dengan perincian lebih menyerlahkan lagi model ini. Ditambah pula dengan binaan yang baik. Ia bukan sahaja sangat selesa untuk dipegang. Bahkan, juga terasa cukup kukuh ketika di genggaman.

Namun begitu, panel belakang ini terlalu mudah memerangkap kotoran – terutama jika anda seorang yang mempunyai masalah tangan yang mudah berpeluh. Justeru, adalah lebih baik anda menggunakan peranti pintar ini bersama-sama kerangka pelindung plastik yang tersedia secara percuma di dalam kotak pembungkus.
Menyentuh mengenai rekaan. Panel belakang memperlihatkan modul kamera berbentuk segi empat. Kemudian, terdapat tiga bonggol kamera berbeza untuk setiap satu lensa yang disusun secara menegak. Seterusnya, satu lagi lensa tambahan pula ditempatkan secara bersebelahan dan kelihatan rata sahaja. Selain itu, terdapat juga penjenamaan ‘Oppo’ pada bahagian bawah. Cuma berbeza sedikit pada lensa tambahan kali ini yang saiznya kelihatan sedikit lebih besar.

Meskipun begitu, ini tidak bermakna tiada langsung perubahan yang dibuat. Panel hadapan dilihat menerima perubahan ketara. Di mana, ia tidak lagi menggunakan sokongan dwi-kamera swafoto seperti Oppo Reno4. Sebaliknya, hanya satu lensa swafoto tunggal sahaja yang digunakan pada Oppo Reno5. Melaluinya, skrin sebesar 6.4-inci dengan panel sejenis AMOLED digunakan. Resolusi pula adalah FHD+ bersama kadar segar semula tinggi 90Hz.
Turut kelihatan, bezel yang nipis digunakan pada bahagian sisi dan atas peranti. Namun, masih ada dagu pada bahagian bawah. Ia bagaimanapun, tidak begitu tebal sehingga mengganggu penggunaan peranti. Dalam cubaan ringkas, kualiti paparan pada Oppo Reno5 kelihatan baik dengan aspek visual yang memuaskan. Selain itu, kecerahan skrin juga berada di tahap memuaskan dan paparan berasaskan teks mudah untuk dibaca dengan baik.

Sentuh mengenai binaan pada bingkai pula. Oppo Reno 5 turut memberi pengalaman penggunaan peranti dengan struktur yang kukuh. Susun atur butang standard direka dengan baik dan mudah sahaja untuk dicapai. Butang kuasa diletakkan pada sisi kanan. Sementara, sisi bertentangan pula terdapatnya butang laras suara dan ruangan slot untuk kad sim. Slot ini bagaimanapun hanya menyokong sehingga dua slot kad – tanpa slot untuk kad microSD. Bermakna, ia tidak membenarkan anda untuk memanfaatkan sokongan penambahan muatan dalaman. Seterusnya, bicu audio 3.5mm, lubang kecil untuk mikrofon, port pengecasan USB-C dan pembesar suara diselitkan pada bahagian bawah peranti.

Dalam pada itu, Oppo Reno5 juga dibekalkan bateri berkapasiti 4,300mAh yang mana kami rasakan sesuai untuk tugasan harian biasa kita semua. Selain itu, ia turut disertakan dengan pengecasan pantas 65W dan anda boleh mengecas peranti ini menerusi sambungan port USB-C.
Antaramuka & pengalaman penggunaan :
Oppo Reno5 menggunakan antara muka ColorOS 11.1 yang dibina berasaskan Android 11 terkini. Ia menawarkan penambahbaikan bersama pelbagai ciri mesra pengguna. Selain, ia turut menyokong beberapa fungsi menarik. Antaranya, mod tema gelap & Always On Display yang boleh diubahsuai. Seterusnya, ciri Flexdrop yang membolehkan penggunaan peranti lebih cekap dengan melancarkan sebarang aplikasi dengan cepat menerusi tetingkap terapung. Kemudian, ciri Three-Finger Translate With Google Assistant Lens yang membolehkan pengguna menterjemah kandungan secara langsung daripada tangkapan layar.

Untuk spesifikasi dalaman, Oppo Reno 5 menggunakan cip pemproses Snapdragon 765G dengan kelajuan mencecah 2.4GHz. Ia seterusnya dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Pada analisis awal, tidak banyak yang boleh kami komen mengenai prestasi peranti. Ia dilihat memberikan pengalaman yang baik-baik sahaja dengan kebolehan untuk menggalas tugas harian dengan baik. Proses membuka dan menutup aplikasi juga dilihat lancar bersama peralihan animasi memuaskan. Dalam erti kata mudah, masih tiada komen negatif sepanjang percubaan awal ini. Namun, kami akan mengulas lebih lanjut pada ulasan yang akan datang.
Tetapan Kamera :
Bercakap pula mengenai tetapan kamera Oppo Reno5. Sistem kuad-kamera utama digunakan di sini. Melaluinya, sensor utama yang digunakan adalah sebesar 64-Megapixel (f/1.7). Kemudiannya, ia diikuti pula dengan tiga lagi sensor berasingan yang terdiri dengan konfigurasi 8-Megapixel (ultra-lebar) (f/2.2), 2-Megapixel (makro) (f/2.4) dan 2-Megapixel (mono) (f/2.4).

Teknologi AI turut digunakan pada lensa ini bertujuan untuk mengesan subjek secara automatik – sekaligus dapat membantu anda mendapatkan hasil penggambaran yang menarik. Seterusnya, antara muka kamera juga dilihat mudah sahaja untuk difahami dan kami tidak temui sebarang masalah dalam mengakses mod kamera yang tersedia. Antara fungsi kamera yang tersedia termasuk Night Mode, Portrait Mode, Extra HD Mode, Panorama Mode, Macro Mode dan banyak lagi. Bagaimanapun, terdapat beberapa fungsi kamera lain yang menjadi fokus utama pada Oppo Reno5. Antaranya seperti berikut :
1) AI Highlight Video – Ia menggunakan algoritma yang disesuaikan secara automatik berdasarkan jenis keadaan sekeliling. Kemudian, tingkatkan kualiti rakaman video menjadi lebih baik untuk hasil memuaskan. Sekaligus, membolehkan pengguna merakam video dengan lebih jelas dan terang dalam semua situasi pencahayaan. Fungsi ini boleh digunakan pada kedua-dua belah kamera hadapan dan belakang.
2) Portrait Beautification Video – Ciri yang membolehkan pengguna menghasilkan rakaman swafoto dengan efek bokeh lebih baik. Turut kelihatan, ia juga dilengkapi mod kecantikan terbina yang membolehkan pipi dikuruskan, kedut diratakan, kulit diputihkan, solekan dikenakan dan mata dibesarkan.
3) Dual-View Video – Oppo Reno5 juga dilengkapi ciri Dual-View Video mode di mana membolehkan pengguna merakam video melalui kamera hadapan dan kamera belakang secara serentak. Melaluinya, terdapat tiga jenis template berbeza yang boleh dipilih iaitu Split, Round dan Rectangle.

4) Ultra Steady Video 3.0 – Melaluinya, pengguna boleh membuat rakaman video dengan lebih stabil – seakan dirakam menggunakan gimbal. Mod ini terbahagi kepada tiga iaitu : a) Front Steady Video (kamera hadapan) , b) Ultra Steady Video (kamera utama), c) Ultra Steady Video Pro (kamera ultra-lebar).
5) AI Scene Enchancement – Kamera pada Oppo Reno5 juga membolehkan pengguna untuk membuat pengecaman subjek pada gambar sehingga 22 kategori berbeza termasuk – manusia, haiwan, tumbuhan, makanan dan banyak lagi.

6) Night Flare Portrait – Bantu meningkatkan lagi keperincian dan butiran imej dalam pencahayaan rendah. Selain, turut menghasilkan gambar dengan kesan bokeh yang semula jadi pada latar belakang.
Kesimpulan :
Sebagai kesimpulan, penawaran pada Oppo Reno5 boleh dikatakan agak menarik terutamanya untuk keupayaan pada kameranya. Pelbagai karya kreatif yang boleh dihasilkan oleh pengguna menerusi penawaran tersebut. Ditambah lagi dengan konfigurasi sensor utama yang dipertingkatkan kepada 64-Megapixel – menjadikannya mampu memberi pengalaman penggambaran lebih baik. Nantikan artikel ulasan penuh kami dalam masa terdekat untuk perkongsian lebih lanjut berkaitan prestasi peranti ini dalam dunia nyata.

Bagi yang berminat, Oppo Reno5 dijual pada harga RM1,899. Dalam pada itu, anda juga mempunyai satu lagi pilihan iaitu Oppo Reno5 Pro yang ditawarkan pada RM2,599. Kedua-duanya berkongsi sejumlah spesifikasi yang sama. Cuma bezanya pada penggunaan cip pemproses, sokongan memori dan binaan panel hadapan melengkung. Di mana, Oppo Reno5 Pro menggunakan cip MediaTek Dimensity 1000+ dan penawaran memori lebih besar iaitu 12GB RAM + 256GB ROM.
Pra-tempahan kini telah dibuka sehingga 26 Januari 2021. Bagi yang berminat, anda boleh membayar RM100 terlebih dahulu sebagai deposit dan setiap pembelian akan didatangkan dengan hadiah percuma bernilai sehingga RM397 yang terdiri dengan – seunit Enco W11 (bernilai RM159), kerangka telefon pintar (bernilai RM129) dan jaminan waranti tambahan selama satu tahun (bernilai RM109).