Kamera Utama Samsung Galaxy S20 FE Menerima Skor 115 Mata Dalam DxoMark

Kamera Utama Samsung Galaxy S20 FE Menerima Skor 115 Mata Dalam DxoMark

Diterbitkan pada Jan 14, 2021 oleh .

Samsung Galaxy S20 FE merupakan salah sebuah daripada peranti mercu daripada Samsung. Ditawarkan dalam dua variasi iaitu dijana dengan cip Snapdragon 865 bersama sokongan 5G terbina, sementara model 4G pula menggunakan cip Exynos 990. Di Malaysia, model 4G dijual pada harga RM2,699. Manakala, variasi 5G pula ditawarkan pada RM3,399.

Seperti adik-beradiknya yang lain, ia juga mempunyai kemampuan kamera yang berada di kategori baik melalui sokongan sistem tri-kamera utama. DxoMark juga kini telah mengeluarkan laporan untuk kualiti kameranya dan ia berjaya merangkul markah keseluruhan sebanyak 115 mata (untuk cip Exynos).

Kutipan markah ini telah memposisikan Samsung Galaxy S20 FE seiring dengan Oppo Reno 10x Zoom dan Asus ZenFone 7 Pro. Tetapi, berada setapak di belakang Huawei P30 Pro. Untuk ringkasan ujian, peranti pintar ini dilihat menerima 119 mata untuk keupayaan kamera, 68 mata untuk keupayaan zum dan 101 mata pula untuk kemampuan video.

Pujian diberikan kepada kemampuan kamera mengambil gambar dengan keperincian memuaskan dalam kebanyakan situasi, sistem imbangan putih yang konsisten dan keupayaan video yang baik dengan kawalan hingar minima bersama sokongan penstabilan yang efektif. Kritikan pula diberikan kepada julat dinamik yang terhad, bokeh kurang memuaskan dan masalah hingar ketara untuk penghasilan gambar pada pencahayaan rendah.

Dalam perkembangan berbeza, Samsung kini dalam persediaan untuk acara Galaxy Unpacked mereka yang dijadualkan berlangsung pada hari ini, iaitu 14 Januari 2021 bermula jam 11 malam. Pelbagai maklumat tertiris mengenai Samsung Galaxy S21 yang telah didengari. Justeru, jangan lupa kekal bersama kami di Amanz untuk kemaskini lebih lanjut berkaitan penawaran produk yang bakal diperkenalkan oleh Samsung pada acara ini.


Paling Popular