Cari @ Amanz

Selain Black Shark dan Nubia, nampaknya kita juga bakal menyaksikan kehadiran sebuah lagi peranti gaming baharu daripada Asus tidak lama lagi. Ia berikutan tersebarnya laporan mengatakan Asus mula mengacah kehadiran peranti ini menerusi sebuah entri di laman Weibo. Ia bagaimanapun, tidak pula mendedahkan maklumat lanjut mengenai peranti termasuk nama modelnya secara khusus.

Biarpun belum ada kepastian, namun ramai pihak menyasarkan peranti berkenaan adalah Asus ROG Phone 4. Malah, entri tersebut turut memperlihatkan satu poster acah yang menyatakan peranti ini bakal menjanjikan pengalaman penggunaan yang dinaiktaraf bagi membolehkan pengguna memainkan sebarang permainan dengan lebih emersif.

Dalam pada itu, imej acah turut memperlihatkan peranti ini hadir dengan binaan bezel yang nipis bersama rekaan bahagian dagu yang tidak begitu ketara – sekaligus memberi gambaran bahawa ia berkemungkinan hadir dengan panel hadapan bersama nisbah skrin-ke-badan yang lebih tinggi.

Buat masa ini, tiada maklumat lanjut berkaitan spesifikasi yang ditemui. Namun, ia dipercayai menggunakan cip Snapdragon 888 dan pelancarannya juga lebih awal berbanding Asus ROG Phone 3 yang dilancarkan sekitar Julai tahun lalu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd