Selain daripada membangunkan peranti-peranti pintar yang banyak digunakan di seluruh dunia, Samsung juga dikenali untuk membangunkan teknologi paparan untuk pelbagai jenis penggunaan, dari peranti pintar ke televisyen dan juga paparan untuk komputer riba.
Terkini, sebuah video acah telah ditiriskan oleh IceUniverse, seorang peniris teknologi yang cukup terkenal sekali di Twitter. Video tersebut memperlihatkan sebuah paparan skrin yang dinamakan Samsung Blade Bezel, yang sebelum ini telahpun difailkan tanda dagangnya oleh Samsung sejak bulan Oktober tahun lalu.
Apa yang diketahui mengenai Blade Bezel ini ialah ia membolehkan Samsung untuk membangunkan paparan skrin dimana bingkainya adalah senipis bahagian bilah memotong pisau, tidak kira jenis paparan yang digunakan.
Di dalam video acah yang dikongsi, paparan skrin Blade Bezel untuk komputer riba yang diperlihatkan mempunyai menggunakan 93 peratus daripada keseluruhan bahagian skrin, secara langsung menjadikannya paparan skrin komputer riba tanpa bingkai yang pertama akan tiba di pasaran.
Bukan itu sahaja, paparan Blade Bezel ini juga hadir dengan sokongan untuk kamera bawah skrin, ataupun Under Panel Camera yang membolehkan pembuat komputer riba tidak perlu risau mengenai lokasi webcam terbina.
Paparan OLED Blade Bezel ini dijangka akan digunakan di dalam komputer-komputer nipis dan ringan terlebih dahulu untuk mengurangkan lagi berat peranti. Samsung mengatakan pada berat 130g sahaja, panel OLED Blade Bezel ini juga adalah di antara paparan paling nipis dan ringan di pasaran sekarang.
Sebelum ini juga kami ada melaporkan bahawa Samsung dilihat akan meningkatkan pengeluaran paparan skrin OLED untuk komputer riba, jadi pengumuman mengenai Blade Bezel untuk komputer riba ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan.