Mercedes Memperlihatkan Papan Pemuka Gergasi MBUX Hyperscreen

Mercedes Memperlihatkan Papan Pemuka Gergasi MBUX Hyperscreen

Diterbitkan pada Jan 15, 2021 oleh .

Tesla memulakan trend penggunaan skrin besar pada bahagian tengah papan pemuka kereta untuk mengawal pelbagai fungsi dalam kenderaan secara sesentuh. Kini saiz skrin semakin besar dengan Samsung memperlihatkan konsep skrin papan pemuka yang boleh berubah saiz. Di CES 2021, Mercedes memperlihatkan MBUX Hyperscreen yang merupakan skrin papan pemuka OLED selebar 55-inci.

Dengan MBUX Hyperscreen kesemua papan pemuka adalah skrin yang besar. Bentuknya juga tidak berkotak tetapi mengikut kontur papan pemuka kereta dengan dua lubang untuk sistem pendingin hawa terbina. Menurut Mercedes, pengguna boleh mengkustomasi apa yang ingin dipaparkan pada skrin mengikut keselesaan peribadi. Sistem ini dijana cip lapan teras dengan memori sebesar 24GB. Terdapat dua belas aktuator yang memberikan tindak balas haptik dan sensor sesentuh.

Sistem boleh mengingati profil tujuh pengguna. Kecerdasan buatan mempelajari tabiat pengguna dan boleh menyarankan penambahan butang kawalan apabila mendapati ia kerap digunakan. Disamping itu kawalan suara juga disokong bagi mengurangkan gangguan ketika memandu.

MBUX Hyperscreen bakal digunakan pada kereta siri EQS, yang merupakan platform kenderaan elektrik mereka sebelum diperkenalkan pada kenderaan lain di masa hadapan.


Paling Popular