Apple pada tahun lepas telah memperkenalkan cip pemprosesan mereka tersendiri, dinamakan Apple M1. Selari dengannya, Apple mengumumkan tempoh peralihan selama 2 tahun ke cip baru ini – sekaligus pelbagai penawaran mereka akan dikemaskini dengan menggunakan cip keluaran mereka tersendiri.
Terbaru, mengikut laporan Bloomberg, Apple diperkatakan sedang membangunkan rekaan baharu untuk komputer semua-dalam-satu mereka, iMac.
iMac baharu ini dijangka hadir dengan rekaan seumpama Pro Display XDR, sekaligus tidak lagi menyertakan rekaan dagu yang besar seperti pada hari ini.
Disamping itu, Apple juga dijangka hadir dengan dua variasi model Mac Pro. Yang pertama dijangka hadir dengan rekaan seumpama Mac Pro sedia ada dan dijana cip Intel, selain turut hadir dengan satu lagi variasi yang menggunakan cip tersendiri dan rekaan lebih kompak lagi.
Ia tidak diketahui lagi sama ada komputer-komputer ini akan diperkenalkan pada tahun ini atau 2022 kelak.