Cari @ Amanz

Isu utama kenderaan elektrik ialah jarak perjalanan yang terhad dan tempoh pengecasan yang berjam lamanya. Selagi ini tidak diselesaikan, kenderaan elektrik sebagai alternatif lestari menggantikan kenderaan bahan api fosil tidak akan menjadi realiti. Penyelidik dari Penn State University telah menghasilkan bateri yang dapat menyelesaikan isu ini.

Bateri yang dibangunkan mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 400 km dengan tempoh pengecasan hanya 10 minit. Ini dilakukan dengan memanaskan bateri ke suhu 60 darjah Celsius terlebih dahulu. Pada suhu ini, pengecasan yang optimum dan lebih pantas dapat dinikmati.

Pada waktu yang sama ia boleh memberikan kuasa puncak 300 kW untuk memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3 saat. Tambah lagi penyelidik percaya bateri ini mampu memberikan perjalanan sehingga 3.2 juta kilometer sepanjang hayatnya.

Teknologi bateri ini adalah kesinambungan dari teknologi pengecasan pantas Penn State yang kami laporkan pada November 2019. Penambahbaikan dilakukan pada katod yang kini menggunakan bahan litium-besi-fosfat menggantikan nikel-kobalt-mangan. Kertas kajian bateri kereta ini telah diterbitkan di dalam jurnal Nature.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd