Carian
Pelayar Web Brave Kini Menyokong Protokol IPFS Bagi Mengakses Kandungan Yang Ditapis
January 20, 2021 Effi Saharudin

Idea asal Internet ialah perkongsian maklumat pada skala global secara mudah dan tanpa halangan. Tetapi dengan Internet kini sudah berusia lebih 32 tahun, pelbagai akses dihalang oleh negara-negara tertentu asal sebab keselamatan. Oleh itu protokol IPFS ( InterPlanetary File System) dibangunkan pada tahun 2015.

Pelayar web Brave hari ini mengumumkan sokongan IPFS secara terbina sekaligus menjadikannya yang pertama tanpa pengguna perlu memuat turun pemalam khas. Pengguna hanya perlu memasukkan alamat IPFS pada pelayar dan kandungannya dapat diakses terus.

Dengan protokol IPFS, maklumat yang ingin dicari disimpan pada nod yang telah disentralisasi. Ini berbeza dengan protokol HTTP yang menyimpan maklumat pada satu pangkalan pusat. Ia boleh dilihat seperti sistem Bittorent tetapi untuk maklumat laman web.

Penggunaan IPFS amat berguna untuk mengakses kandungan yang ditapis seperti laman Wikipedia yang diharamkan di Thailand (kerana kritikal terhadap pemerintah), Turki (kerana pro-pembangkang) dan China (yang menghalang maklumat dari negara luar yang tidak sejajar dengan dasar pemerintah).

Penggunaan pelayar Brave meningkat tahun lalu dengan lebih 5 juta pengguna yang inginkan privasi dan enggan diri dijejak ketika melayari web. Ia mempunyai penghalang iklan dan penjejakan secara terbina yang juga membuatkan ia mengurangkan penggunaan bateri pada komputer riba.

Komen