Huawei dilaporkan akan meneruskan melancarkan peranti mercu siri P dan siri Mate mereka, walaupun mempunyai banyak halangan. Huawei P50 dan Mate 50 dikatakan akan dilancarkan juga pada tahun ini. Bermula sahaja tahun 2021, antara berita yang kami laporkan adalah imej pengolokan awal yang dikatakan untuk peranti Huawei P50. Kita hanya tahu ia mempunyai skrin 6.6-inci, dan satu kamera swatofo serta mengekalkan skrin melengkung.
Terkini laporan dari ITHome menyatakan yang Huawei P50 akan hadir dengan dua variasi, satu dengan Kirin 9000 dan satu lagi dengan Kirin 9000e. Ia juga dikatakan akan mempunyai sistem zum berganda lebih baik dari Mate40, kamera Leica memfokuskan video dan juga skrin kadar segar semula mencapai 120Hz. Huawei juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyertakan sokongan pengecasan pantas 135W.
Tetapi jika tidak, pengecasan berwayar 66W dan 50W nirwayar akan diteruskan. Peranti ini juga dilaporkan akan menjalankan sistem operasi Harmony OS 2.0 dengan antaramuka EMUI 11, tetapi mungkin akan berubah pada produk akhir.