LG pada minggu ini telah mengesahkan mereka sedang melihat kepada beberapa pilihan untuk bahagian perniagaan telefon pintar – termasuk untuk menjualnya. Selari dengan laporan berkenaan, kini hadir laporan baru dari Korea Selatan, mengatakan LG dalam perbincangan untuk menjual perniagaan telefon pintar kepada syarikat Vingroup dari Vietnam,
Vingroup merupakan salah satu syarikat konglomerat dari Vietnam, dan mempunyai sejumlah perniagaan dibawah mereka – termasuk automotif, pembinaan, hotel, pelancongan dan sebagainya.
Vingroup juga mengeluarkan telefon pintar ODM, dan merupakan pengeluar ketiga terbesar di Vietnam selepas Samsung dan juga Oppo. Mereka turut memasarkan peranti dibawah jenama VinSmart di Vietnam.
Dengan pengambil-alihan perniagaan telefon pintar LG, ia akan dapat memperluaskan kepakaran dalam arena berkenaan, selain mengukuhkan lagi pegangan pasaran telefon pintar mereka.
Pengambil-alihan LG juga akan memberikan Vingroup akses kepada pasaran Amerika Syarikat.
Buat masa ini, ia diperkatakan masih dalam perbincangan, dan tidak diketahui lagi siapakah yang akan mengambil-alih bahagian perniagaan telefon pintar LG ini.