Cari @ Amanz

Sebelum ini terdapat desas-desus mengatakan dua jam tangan pintar terkini Realme telah ditemui menerusi kod yang diperoleh aplikasi Realme Link. Salah satu daripadanya adalah Realme Watch 2.

Dalam perkembangan terkini, Realme Watch 2 dikhabarkan telah melepasi pangkalan data FCC. Pada masa sama, beberapa imej yang memaparkan rekaan dan manual pengguna untuk jam tangan ini juga didapati tertiris. Perkara terbabit secara tidak langsung memberi gambaran kasar mengenai penawaran padanya.

Realme Watch 2 dipercayai menggunakan reka bentuk yang sama seperti pendahulunya – iaitu muka jam empat segi. Selain, tali jam yang diperbuat daripada bahan seakan silikon. Di samping, terdapatnya kemasan slogan Realme iaitu ‘Dare To Leap’ pada tali jam berkenaan. Untuk spesifikasi, Realme Watch 2 dikhabarkan hadir dengan skrin bersaiz 1.4-inci TFT bersama resolusi 320 X 320 piksel.

Selain itu, ia juga dipercayai hadir dengan pelbagai fungsi kecergasan dan penjejak kesihatan terbina. Antaranya seperti – fungsi pemantauan kadar degupan jantung, pemantauan kualiti tidur, kebolehan mengawal muzik pada telefon pintar dan sebagainya. Selain, sokongan pelindungan kalis air IP68 dan sambungan Bluetooth 5.0 bersama dengannya.

Sokongan bateri pula adalah sebesar 305mAh – yang mana dilihat lebih besar berbanding Realme Watch sebelum ini yang dilengkapi bateri 160mAh. Jadi melaluinya, kita boleh menjangkakan jam tangan ini akan menawarkan prestasi penggunaan bateri yang lebih baik.

Buat masa ini, masih belum diketahui bilakah jam tangan ini akan dilancarkan secara rasmi. Namun, seperti biasa pasti lebih banyak maklumat berkaitan jam tangan ini yang akan dikongsi dalam masa terdekat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd