Awal bulan Januari, Mozilla dilaporkan sedang membangunkan rekabentuk antaramuka baharu untuk pelayar web – Firefox. Rekaan ini digelar Proton dan akan menjadi perubahan rekaan besar sejak tahun lepas melalui versi Firefox 57. Firefox dijangka akan menawarkan perubahan rekaan ini pada pertengahan tahun, mungkin sekitar Mei.
Kemaskini ini akan ditawarkan dalam versi 90, di mana sekarang masih berada di versi 87. Mozilla akan mengubah rekaan bar alamat, bar alatan, tab, menu hamburger, dan banyak lagi. Tab kini menggunakan rekaan bucu melengkung serta di laman tab baharu pengguna kelak boleh mengubah tema tersendiri dan juga akses pintar kepada laman web popular dan cadangan Pocket.
Pada menu hamburger, sebelum ini akan memaparkan sekitar 20 pilihan. Tetapi kali ini, Mozilla ingin pengguna lebih tenang dan selesa dengan hanya memaparkan pilihan tetapan yang ingin digunakan sahaja. Pilihan ini adalah berasaskan corak penggunaan pengguna. Rekaan ini sebenarnya sudah pun boleh diakses. Serba sedikit elemen rekaan Proton ini disertakan dalam binaan versi 87.
Seperti Chrome dengan flags mereka untuk ujian kepada fungsi/ciri baru atau untuk tetapan tambahan kepada pembangun – Mozilla Firefox mempunyai about:config di mana pengguna hanya perlu cari Proton dan aktifkan. Tetapi dengan mengaktifkannya awal, prestasi akan menjadi bermasalah kerana ia masih belum bersedia sepenuhnya.