Sony Xperia Pro baru sahaja dilancarkan minggu ini selepas setahun dilancarkan. Hari ini imej pengolokan untuk model kemas kini Sony Xperia 1 III telahpun tertiris ke arena web menerusi laman @onleaks.
Sekilas pandang tiada perubahan drastik dilakukan pada rekaan tubuh. Masih lagi bongkah dengan sisi rata dan skrin memanjang 21:9. Konfigurasi bonggol kamera juga dikekalkan cuma kali ini dapat dilihat penggunaan sistem periskop pada salah satu lensa. Ini menandakan Sony akhirnya bersedia memberikan sistem zum optikal yang lebih tinggi setanding dengan pengeluar Android yang lain.
Seperkara lagi yang menarik perhatian ialah butang kuasa yang besar pastinya untuk pengimbas cap jari fizikal dan butang tambahan di bawahnya bersama dengan butang kamera yang menjadi kebiasaan pada peranti Xperia. Butang tambahan ini diambil dari Xperia Pro dan digunakan sebagai butang singkatan pantas untuk melancarkan aplikasi pilihan.
Secara lazimnya Sony akan melancarkan peranti terkini mereka pada penghujung Februari selari dengan acara MWC Barcelona. Dengan MWC Barcelona tidak berlangsung, mereka mungkin masih akan melancarkan peranti pada bulan hadapan.