Carian
Xiaomi Dilaporkan Sedang Membangunkan Sistem Pengecasan Nirwayar Sebenar – Space Charging
January 29, 2021 Fahim Zahar

Ingat lagi atau tidak dengan Wi-Power atau WattUp? Ia adalah satu teknologi pengecasan nirwayar atau pengecasan dari jarak jauh. Di mana sumber kuasa adalah jauh daripada peranti. Tahun 2017 teknologi ini dilaporkan sudah menghampiri pasaran komersial. Ia diinspirasi dari ciptaan Nikola Tesla melalui teknologi aruhan gegelung di mana beberapa biji mentol berjaya dihidupkan dengan sumber kuasa sejauh 48 kilometer.

Terkini, Xiaomi dilaporkan oleh DigitalChatStation sedang membangunkan teknologi yang lebih kurang sama – Space Charging. Teknologi ini membolehkan banyak peranti dicas serentak, peranti masih boleh dicas walaupun ada objek asing halang antara pengecas dan peranti dan kuasa pengecasan adalah 5W sahaja. Ia dijangka teknologi ini adalah untuk peranti yang kecil atau ringan seperti jam tangan pintar, aksesori audio atau lain-lain lagi.

Tiada butiran bila Xiaomi akan memperkenalkannya secara rasmi dan/atau secara komersial. Ada kemungkinan teknologi ini ditawarkan untuk penggunaan industri perusahaan terlebih dahulu sebelum ditawarkan kepada umum. Apa-apa pun, agak menarik untuk melihat akhirnya ada jenama peranti sudah mula membangunkan teknologi seperti ini selepas bertahun lamanya teknologi pengecasan ini mendiamkan diri.

Komen