Sebelum ini tertiris maklumat bahawa Hyundai akan bekerjasama dengan Apple untuk menghasilkan kereta elektrik pertama untuk gergasi dari Cupertino. Kedua-dua pihak kini enggan mengesahkan kebenaran berita ini kerana Apple yang terkenal dengan sikap berahsia mengenai produk yang sedang dibangunkan. Kini menurut laporan Reuters, eksekutif di Hyundai kini berbelah bagi untuk meneruskan kerjasama dengan Apple.
Terdapat kerisauan di kalangan eksekutif Hyundai bahawa mereka akan sekadar menjadi kontraktor yang membina kereta elektrik untuk Apple. Sebagai antara lima syarikat automotif terbesar dunia, Hyundai tidak mahu menjadi sekadar pemasang komponen. Kini mereka dilaporkan akan menilai semula sama ada kerjasama ini benar-benar akan menguntungkan syarikat.
Apple dipercayai ingin mencari mereka sendiri komponen seperti casis, tubuh, tren memandu untuk kereta pertama mereka. Ia kemudian akan dihasilkan oleh pembekal yang dilantik oleh Apple sebelum dipasang di kilang milik Hyundai. Ini adalah sistem yang digunakan oleh Apple sekarang dengan Foxconn yang menjadi pengilang peranti dengan komponen dibeli dari Qualcomm, Samsung dan banyak lagi.