Cip pemproses MediaTek Dimensity 1100 telah dilancarkan seiring dengan pengenalan cip MediaTek Dimensity 1200, tempoh hari. Kedua-duanya dilengkapi teknologi 6nm bersama sokongan 5G terbina. Setakat ini masih belum diketahui pengeluar manakah bakal menjadi antara terawal yang hadir dengan peranti bersama janaan cip berkenaan.

Bagaimanapun, desas-desus terkini mengatakan bahawa terdapat peranti daripada Vivo yang bakal hadir dengan cip berkenaan. Biarpun belum ada kepastian, namun peranti tersebut berkemungkinan besar dikenali sebagai Vivo S9. Tetapi sayangnya, tidak banyak yang diketahui mengenai spesifikasi peranti.
Setakat ini, ia dipercayai hadir dengan skrin bersaiz 6.4-inci dan kamera hadapan berkembar dengan sensor utama 44-Megapixel. Seterusnya, peranti pintar ini juga dikhabarkan bakal diperkenalkan sekitar bulan Mac kelak.

Ramai pihak berpendapat, ia berkemungkinan peranti misteri daripada Vivo yang tertiris dengan kod model V2072A sebelum ini. Jika ianya benar, peranti ini dipercayai bakal dilengkapi memori 12GB RAM dan sokongan Android 11 terkini.
Meskipun demikian, rasanya adalah lebih baik jikalau kita menganggapnya sekadar satu spekulasi awal semata. Tambahan pula, pihak Vivo sendiri juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan ini.