Cari @ Amanz

Kereta Keluaran Ford Akan Menggunakan Sistem Operasi Android Bermula 2023

Link Copied!

Kereta zaman sekarang perlu memiliki sistem infohibur yang canggih bagi membolehkan ia mengakses ciri yang biasa ditemui pada telefon pintar. Antara ciri yang wajib ada sekarang ialah sistem pemetaan GPS, pemain video dan pemain muzik popular. Tetapi setiap pengeluar memilih untuk menggunakan sistem tersendiri yang mengakibatkan kerap kali sukar untuk disambungkan kepada telefon pintar.

Ford minggu ini mengumumkan persetujuan untuk bekerjasama dengan Google bagi menggunakan sistem infohibur berasaskan Android. Jutaan kereta berjenama Ford dan Lincoln akan menggunakan sistem operasi Android bermula 2023. Ia akan menggantikan sistem Ford Sync berasaskan Blackberry QNX OS yang digunakan oleh Ford pada kenderaan mereka.

Selain sistem infohibur, Android akan digunakan untuk mengawal sistem pendingin hawa, pemanas dan juga notifikasi. Sebagai contoh pemilik kenderaan boleh menerima notifikasi sekiranya komponen kenderaan perlu ditarik kerana bermasalah. Mereka juga boleh mengatur waktu untuk kenderaan diselenggara terus dari skrin sesentuh kenderaan.

Menerusi Google Cloud pula, Ford boleh mengumpul data mengenai bagaimana kenderaan digunakan dan memahami bagaimana penambahbaikan yang diinginkan oleh pengguna.

Ford ialah sebuah lagi syarikat automotif yang menggunakan sistem operasi Android pada kenderaan mereka. Sebelum ini Volvo menerusi Polestar turut memilih Android sebagai sistem operasi pilihan. Maka tidak mengejutkan Apple mula memesatkan usaha melancarkan kereta elektrik mereka sendiri bagi memastikan peminat mereka akan turut menikmati ekosistem yang dama pada kenderaan pula.


Komen ()