Cari @ Amanz

Dalam perutusan khas beliau hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yasin mengumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Lantikan dilakukan bagi membolehkan ahli parlimen Rembau ini mengetuai Pasukan Petugas Khas yang telah ditubuhkan.

Khairy Jamaludin akan bertanggungjawab mengetuai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan akan menguruskan keperluan logistik dan penyelarasan program vaksinasi dengan negeri-negeri dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Tambah Perdana Menteri lagi, tugas diberikan kepada Khairy bagi memastikan Kementerian Kesihatan dapat menumpukan kesemua perhatian kepada fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang kini di berada gelombang ketiga. Pasca pengenalan PKP 2.0, jumlah kes jangkitan baharu harian masih lagi melangkaui empat angka.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, PICK akan dimulakan pada penghujung bulan ini dan akan dipecahkan dalam tiga fasa, di mana fasa pertama, yang akan bermula pada hujung bulan ini hingga bulan April 2021, akan memperlihatkan 500,000 petugas barisan hadapan menerima vaksin ini terlebih dahulu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd