Suzuki Hayabusa muncul pada tahun 1999 sebagai motosikal jalanan terpantas di dunia. Reputasinya memang cukup ternama di kalangan peminat motosikal prestasi tinggi. Pada hujung minggu lalu, Suzuki Hayabusa 2022 diumumkan dan merupakan versi generasi ketiga yang dihasilkan.

Seperti Hayabusa generasi kedua yang telahpun dihentikan pengeluarannya tiga tahun lalu, Hayabusa 2022 mengekalkan penggunaan enjin empat silinder garis lurus dengan kapasiti 1340cc yang sama seperti Gen 2. Perbezaan terletak pada sistem elektronik Ride by Wire terkini Suzuki, penukaran gear tanpa klac dan pelbagai bantuan tunggangan untuk memastikan keselesaan.

Dengan kesemua penambahbaikan ini, Suzuki berkata Hayabusa 2022 adalah lebih stabil ditunggang pada kelajuan rendah manakala sistem aerodinamik baharu membolehkan ia dipecut lebih laju. Apakah kelajuan maksimum motosikal tidak diberitahu tetapi yang pasti enjin mampu mengeluarkan output 187 kuasa kuda manakala berat jentera pula hanya 264 kilogram.

Suzuki mengehadkan kemampuan Hayabusa secara elektronik atas sebab keselamatan. Motosikal juga melepasi piawaian pengeluaran asal Euro 5 yang terkini. Kegagalan Hayabusa Gen2 untuk melepasi piawaian Euro 5 tiga tahun lalu adalah penyebab mengapa pengeluarannya dihentikan.
Kuasa yang tinggi dipadankan dengan sistem brek Brembo Stylemas dan gantungan KYB yang boleh dilaras. Sistem elektronik yang kami katakan pada perenggan terdahulu memberikan pilihan kepada penunggang untuk memilih mod jalanan ataupun trek. Suzuki Hayabusa 2022 dijual pada harga $18,599 (~RM75,000) sebuah.