Cari @ Amanz

Sony Xperia 5 II mula ditawarkan untuk pengguna di Malaysia sekitar November lalu. Ia merupakan peranti pintar yang memfokuskan kepada spesifikasi mercu – termasuklah dilengkapi gabungan tri-kamera utama dengan lensa 12-Megapixel. DxoMark kini berkongsi laporan penuh mengenai keupayaan kamera utamanya dan ia memperlihatkan peranti ini menerima skor sebanyak 111 mata.

Melaluinya, Sony Xperia 5 II mencatatkan sebanyak 114 mata untuk keupayaan fotografi, 60 mata untuk keupayaan zum dan 99 mata pula untuk keupayaan video. Kutipan mata penuh berkenaan juga sekaligus memposisikan Sony Xperia 5 II setanding dengan Google Pixel 4a. Tetapi, dua tapak di belakang Huawei P40.

Pujian diberikan kepada kawalan hingar yang baik dalam kebanyakan situasi – termasuklah untuk video dan foto. Seterusnya, hasil bokeh memuaskan dengan warna yang tepat, sistem imbangan putih yang seimbang dan butiran yang baik untuk rakaman video. Kritikan pula diberikan kepada julat dinamik yang terhad untuk sesetengah keadaan. Kemudian, sistem autofokus yang tidak stabil dan penstabilan video yang tidak memuaskan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd