Mei tahun lalu SELangkah dilancarkan sebagai platform pengesanan kontak Covid-19 pertama di Malaysia. Ianya mudah digunakan kerana tidak memerlukan aplikasi dimuat turun dan mengingati maklumat pengguna yang pernah mendaftar. Dengan ulang tahun SELangkah semakin hampir, ia kini hadir pula dalam bentuk aplikasi yang menawarkan pelbagai perkhidmatan secara setempat.

Ciri utama pastinya ialah untuk pengesanan kontak. Sistem imbasan kod QR SELangkah bukan sahaja boleh mengimbas kod mereka sendiri tetapi juga kod QR MySejahtera. Pendaftaran adalah mudah terutamanya jika anda memang pernah menggunakan SELangkah sebelum ini. Pengguna boleh mengakses sejarah lokasi yang pernah mereka lawati dengan SELangkah sejak setahun lalu. Terdapat juga notifikasi sekiranya lokasi yang dilawati adalah menjadi pusat sebaran virus.
Ciri yang lebih menarik pada hemat kami ialah mendaftar ke premis tanpa mengimbas kod QR. Sebaliknya aplikasi mengesan lokasi pengguna dan memberikan senarai premis yang ingin dilawati. Ia mirip ciri FourSquare dan amat berguna sekiranya pengguna tidak mahu beratur panjang semata-mata untuk mengimbas kod QR.

Selain itu ciri SELangkah Pay, SELangkah ID dan Register and Sign Up For Vaccination (R.S.V.P) juga kelak akan diperkenalkan. Pembayaran secara nirtunai boleh dilakukan menerusi aplikasi. Sementara R.S.V.P pula membolehkan rakyat Selangor mendaftar untuk program vaksinasi negeri yang diumumkan bulan lalu.
Akhir sekali ialah SELangkah ID yang dikatakan adalah sistem pengenalan diri digital pertama di Malaysia. Menerusinya pelbagai perkhidmatan kerajaan kelak boleh diakses dan disahkan menerusi sistem biometri yang ada pada peranti.
- Muat turun aplikasi SELangkah dari Google Play Store
- Muat turun aplikasi SELangkah dari Apple App Store