DARPA Mengumumkan Projek LongShot – Dron Berpeluru Berpandu Dilancarkan Dari Pesawat

Diterbitkan pada Feb 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Saya gemar menonton anime semasa kecil. Antara perkara aneh yang dilakukan di dalam anime ialah penggunaan senjata yang dalamnya terdapat senjata terbina. Watak yang mempunyai senjata dalam senjata paling terkenal ialah Megatron. Sebuah robot yang dilengkapi pistol yang kemudiannya berubah menjadi pistol untuk digunakan robot lain. Logik kartun ini akan kelak digunapakai pula oleh DARPA.

Mereka telah mengumumkan projek LongShot yang ingin merealisasikan sebuah dron yang boleh dibawa oleh pesawat tempur yang kemudiannya dilengkapi dua peluru berpandu untuk menyerang pesawat lain. Tiga syarikat General Atomics, Lockheed Martin, dan Northrop Grumman dianugerahkan kontrak fasa satu untuk membekalkan rekaan awal sistem masing-masing.

Menurut DARPA, LongShot diperlukan bagi mengurangkan risiko kepada pesawat tempur yang menjadi kapal induk. LongShot dihantar ke kawasan yang mungkin mempunyai sistem pertahanan yang baik sebelum mencari sasaran yang memusnahkannya pula.

Kerana dron ini sudahpun bersaiz kecil, sistem peluru berpandu baharu turut perlu dibangunkan. Senjata AAM sedia ada seperti Sparrow, Sidewinder dan AMRAAM nyata terlalu besar untuk dimasukkan ke dalam tempat simpanan kargo dron LongShot bagi mengurangkan profil radar.

Pengumuman projek LongShot dilihat adalah evolusi dari program Gremlins yang diumumkan pada tahun 2015. Gremlins ialah gerombolan dron yang boleh dilancarkan dari pesawat kargo yang kemudiannya digunakan untuk pemantauan ruang udara sahaja kerana tidak dilengkapi senjata.

Persoalannya ialah dengan sistem Skyborg dan Loyal Wingman yang kini telah memasuki fasa ujian, mengapa dron kecil dengan senjata diperlukan?

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami