Tahun ini akhirnya Samsung melancarkan fon telinga nirwayar sejak mula kembali serius dalam penghasilan aksesori audio mereka. Tahun demi tahun kami dapat melihat penambahbaikan yang dilakukan dan kini kemuncaknya ialah Galaxy Buds Pro.
Dengan penggunaan nama Pro, jelas Buds Pro dilihat sebagai produk yang bersaing secara langsung dengan AirPods Pro. Tahun lalu menerusi Buds Live, mereka memperkenalkan sistem ANC tetapi ia tidak beroperasi dengan baik kerana ia bukan dari jenis dalam telinga. Hingar dari luar masih mampu menerjah. Dengan harga jualan RM799, RM100 lebih tinggi berbanding Galaxy Buds Live adakah Bud Pro alternatif yang lebih baik? Ini ialah ulasan ringkas kami untuk TWS ini.
Spesifikasi
Samsung Galaxy Buds Pro | |
---|---|
Jenis | Fon dalam telinga |
Pemandu | 11mm Woofer +6.5mm Tweeter |
Mikrofon | 4 Luar + 2 Dalam |
Bateri | 61 mAh pada fon telinga 472 mAh pada pod pengecas |
Port pengecas | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Ya / Qi |
CODEC | Scalable (Samsung), AAC, SBC |
Sistem operasi disokong | Android, iOS, MacOS, Windows 10 |
Sokongan pembantu maya | Ya (Bixby sahaja pada Android) |
Pad sesentuh | Ya / 2X |
Kemampuan kalis air | IPX7 |
Storan Dalaman | Tiada |
Audio Offline | Tiada |
Pengimbas nadi | Tiada |
Harga Jualan | RM 799 |
Pada Buds Pro, rekaan putik audio yang lebih konvensional digunakan. Rekaan kacang ajaib Buds Live tidak diteruskan walaupun pada hemat kami ia adalah rekaan yang unik jika dibandingkan dengan TWS lain di pasaran. Putik telinga adalah dari jenis dalam telinga yang menerobos rongga manakala tubuhnya lebih besar berbanding Buds dan Buds+ kerana memerlukan ruang untuk dua pemandu audio untuk setiap telinga.

Ya terdapat dua pemandu audio untuk setiap putik. Pemandu 11mm untuk woofer dan 6.5mm untuk tweeter. Konfigurasi pemandu audio berkembar ini menurut Samsung mampu menawarkan prestasi audio yang lebih baik. Ia adalah penambahbaikan dari sistem pemandu berkembar Buds+ cuma kini ia berbentuk bulat (pada Buds+ ia berbentuk empat segi) dan lebih besar. Di dalam putik yang sama juga diletakkan dua mikrofon pada bahagian luar dan satu diuar untuk sistem ANC.
Dengan saiz yang lebih besar, pada awalnya terasa sedikit canggung kerana kami sudah terbiasa dengan rekaan kacang Buds Live yang lebih kecil serta tidak menerjah telinga. Ini adalah perlu kerana jelas rekaan lebih terbuka tahun lalu tidak mampu menghalang hingar dari luar secara sepenuhnya walaupun dengan dengan ANC diaktifkan. Dengan saiznya yang besar, proses untuk meninggalkannya juga lebih mudah.

Rekaan putik silikon Buds Pro adalah mirip Buds+ dan oleh itu sejurus selepas ia dimasukkan ke dalam telinga, pembatalan hingar secara pasif dapat dinikmati. Pada masa yang sama rekaan ini memastikan fon telinga tersemat dengan lebih kemas membuatkannya sesuai digunakan ketika bersukan.
Kemasan tubuh adalah berkilat pada bahagian pad sesentuh dan pusam pada bahagian lain. Rekaan pusam ini turut digunakan pada tubuh pod pengecas merangkap pod simpanan. Secara peribadi kemasan yang tidak berkilat ini adalah lebih tahan calar untuk jangka masa yang lama.

Bercakap mengenai pod simpanan, rekaan berkotak Buds Live dikitar semula. Lampu status bateri terletak di bahagian luar dengan sebuah lagi lampu LED pada bahagian hadapan menunjukkan status tambatan kepada peranti. Bahagian penutup adalah tegap tanpa masalah bergegar. Memang terasa premium walaupun diperbuat sepenuhnya daripada bahagian plastik. Saiz tubuh ini cukup padat membuatkannya selesa diletakkan di dalam kocek. Kerana saiznya yang kecil ini, pernah beberapa kali kami terlupa ia disimpan dalam kocek. Sebuah port USB-C terletak di bahagian belakang untuk mengecas.

Terdapat satu pad sesentuh pada setiap putik audio. Ia menyokong pelbagai sokongan gestur yang kini adalah perlu bagi sebuah TWS. Kami akan membincangkan mengenai pad sesentuh dan apa yang boleh dilakukan oleh pengguna dalam segmen perisian di bawah.
Perkara lain yang boleh kami katakan mengenai Buds Pro ialah ia menyokong tambatan Bluetooth 5.0, sokongan coded utama (Samsung Scalable, AAC, SBC) dan melepasi piawaian kalis air IPX7. Sebagai pengguna Buds+ dan Buds Live, Buds Pro menggabungkan semua ciri yang kami sukakan pada Buds+ tanpa mengitar semula kekurangan Buds Live.

Penggunaan Dan Perisian
Proses tambatan adalah bergantung kepada peranti yang gunakan. Pada peranti Samsung prosesnya adalah semudah membuka pod pengecas dan menanti untuk ia dikesan oleh peranti. Sebuah animasi pendek akan terpapar pada skrin menunjukkan tahap bateri pada pod dan fon telinga. Proses kemudian mengambil masa sekitar seminit (bergantung kepada kelajuan Internet) untuk menunggu aplikasi Galaxy Wearable memasang pemalam yang diperlukan. Selepas proses ini selepas Buds Pro terus boleh digunakan.

Pada fon telinga Android lain, kami menyarankan aplikasi Galaxy Wearable (Galaxy Buds pada iOS) dimuat turun terlebih dahulu. Buka pod dan ikuti arahan yang terpapar pada aplikasi. Proses mengambil masa yang sedikit lebih lama kerana perlunya memuat turun aplikasi tambahan.
Fon telinga masih boleh digunakan tanpa menggunakan aplikasi tetapi tidak disarankan. Aplikasi adalah penting untuk menukar sistem kawalan gestur, menyahaktifkan pad sesentuh, mod audio, mengaktifkan ANC, menjejak lokasi sekiranya hilang dan banyak lagi. Pengalaman penggunaan akan menjadi lebih baik menerusi aplikasi ini.

Walaupun sudah lebih sebulan dilancarkan, masih tiada sokongan untuk peranti iOS. Ini adalah mengecewakan kerana sebelum ini Buds+ dan Bud Live disokong menerusi aplikasi Galaxy Buds di App Store pada hari pertama TWS mula dipasarkan. Mengapi kali ini sokongan untuk iOS dan iPadOS tidak diberikan adalah misteri.
Akhir sekali pada komputer proses menambat adalah sedikit lebih leceh. Kedua-dua pad sesentuh perlu ditekan selama beberapa saat sehingga bunyi beep didengari. Kemudian Buds Live perlu dipilih pada menu bluetooth komputer.
Sekiranya anda ingin mengubah tetapan Buds Pro pada komputer dan peranti Apple, ia perlu dilakukan terlebih dahulu pada peranti Samsung/Android. Bud Pro akan mengingati tetapan anda apabila ditambat ke komputer dan peranti Apple.

Sepanjang ulasan kami tidak mengalami masalah menggunakan Buds Pro pada pelbagai peranti Samsung, Android, iOS, Windows 10 dan Mac. Proses menukar ke peranti lain juga mudah dengan ciri Smart Switch
Penggunaannya selepas itu adalah amat mudah. Terdapat sokongan kawalan gestur untuk menjeda/main, melangkau ke hadapan/ ke belakang, melaras semula audio, mengubah tetapan ANC dan menyeru Bixby. Jumlah kawalan gestur secara serentak adalah lebih rendah berbanding pada Buds+. Kami agak kecewa ciri accelerometer yang mengesan tubuh diketuk tidak lagi diberikan dalam tetapan Labs. Ia adalah ciri yang menambah dua lagi gestur tambahan yang kini tidak disokong Buds Pro.
Bercakap mengenai pad sesentuh, entah kenapa ini ialah pad sesentuh terburuk di kalang keluar Samsung Buds. Kadang kala sentuhan dan dwi-tap tidak dibaca dengan betul. Kami ingin melangkau ke depan tetapi ia hanya mengesan sentuhan untuk menjeda. Bagi sebuah produk generasi ke-empat ini tidak boleh kami maafkan. Lebih-lebih lagi apabila mengingatkan pada Buds+ isu ini tidak berlaku sekerap Buds Pro. Samsung perlu memberikan kemas kini untuk menyelesaikan isu ini dengan segera.

Dua tahap ANC boleh dipilih menerusi aplikasi. Secara lalai kami mengaktifkannya sepanjang masa dan ia mampu menapis hingar frekuensi rendah seperti deruman kipas dan pendingin hawa. Deruman frekuensi tinggi masih tidak dapat dihalang sepenuhnya. Dari segi prestasi ANC, ia jauh lebih baik berbanding Buds Live dan Huawei FreeBuds Pro. Tetapi sebenarnya jika lagu dimainkan, majoriti hingar dari luar dapat dihalang.
Ciri yang paling sukar pada Buds Pro sebenarnya ialah Voice Detect. Apabila kami bercakap, audio akan terus ke tetapan paling renda anda Ambient Mode diaktifkan. Dengan ini kami boleh bercakap dengan insan di depan mata tanpa perlu menanggalkan putik audio atau menurunkan kekuatan muzik secara manual. Amatlah berguna apabila di kedai membeli barang dan ingin bercakap dengan rakan sepejabat. Masa muzik direndahkan dalam mod Voice Detect juga boleh dilaras dari 5 ke 20 saat.

Akhir sekali ialah Ambient Mode yang memberikan pemakai kemampuan mendengar seperti seorang adiwira. Bunyi luaran boleh dinaikkan sehingga 20 dB. Ini ciri yang kami gunakan di pejabat untuk mendengar perbualan rakan yang duduk jauh dari kami. Amat berguna juga bagi mereka yang gemar menjadi tepi kain orang.
Isu berbangkit yang masih lagi mengecewakan ialah, Samsung Wearable hanya membenarkan Bixby digunakan sebagai pembantu maya di peranti Samsung. Kenapa masih belum dibenarkan kami mengubahnya ke Assistant yang lebih baik. Pada peranti Android lain kami boleh melakukannya dan pada iOS/macOS kami boleh pula menyeru Siri.

Sebagai pengakhiran segmen perisian, ingin kami katakan Galaxy Wearable turut membolehkan Buds Pro dijejak lokasinya (malang sekali tiada UWB), menala keseimbangan audio kiri/kanan, mod gaming dan menyahaktifkan terus pada sesentuh. Ini adalah sebab mengapa kami katakan penggunaan aplikasi Galaxy Wearable amatlah disarankan bagi mengakses kesemua ciri yang disertakan.
Kualiti Audio
Kami pada awalnya kurang yakin dengan dakwaan Samsung bahawa Buds Pro mampu menawarkan pengalaman audio yang baik. Sebagai pengguna fon kepala, kekurangan fon telinga jenis earbuds kini kami sudah arif sangat. Audio biasanya terasa tersumbat, soundstage yang sempit dan mampatan audio apabila terlalu banyak instrumen dimainkan dalam muzik yang didengari.
Maka pada awalnya kami meletakkan palang yang rendah untuk dilepasi oleh Buds Pro. Sejurus selepas ujian dimulakan palang yang diletakkan terus terjatuh kerana gegaran bass yang mantap dan kicauan treble yang gemeresik. Ya pembaca sekalian, dengan Buds Pro penanda aras fon telinga nirwayar telah ditemui kerana ia melepasi kesemua piawaian terdahulu.

Walaupun Buds Pro mempunyai rekaan dari jenis earbuds, soundstage audionya terasa lebih terbuka. Masalah kesempitan dan audio mampat tidak begitu ketara pada Buds Pro. Buds Pro membuka dimensi baru audio yang selama ini tidak dapat kami nikmati pada earbuds. Putik telinganya mungkin lebih besar dan berat tetapi ia pengorbanan berbaloi untuk memberikan pengalaman audio yang amatlah di luar jangkaan.
Jika anda gemar mendengar muzik orkestra klasik, vokal dan rock ini ialah fon telinga untuk anda. Pada tetapan bunyi paling tinggi sekalipun audio tidak berkecamuk. Setiap saluran audio dapat didengari dengan baik. Vokal lantang, gitar tajam dan bass yang menggegarkan koklea dapat dinikmati.
Ia masih tidak sebaik sepasang fon kepala premium seperti Sony WH1000MX4 ataupun Bose tetapi perbandingan ini tidak adil. Memang mutahil pemandu audio 11.5mm Buds Pro yang disumbat ke dalam telinga boleh menandingi pemandu audio 40mm berdiafragma besar.

Prestasi audio ketika melakukan panggilan telefon dan permua adalah memuaskan. Suara masih tidak berapa terang apabila melakukan sesi telesidang lebih-lebih lagi jika sistem pembatalan angin sedang bekerja keras. Cukup elok untuk penggunaan biasa tetapi tidak cukup memuaskan untuk melakukan rakaman suara latar untuk video di Amanz.
Pada permua pula, masa pendam audio masih berlaku sungguhpun dengan Gaming Mode diaktifkan. Ini bukanlah masalah eksklusif pada Buds Live kerana turut ditemui pada kesemua TWS bluetooth 5.0 di pasaran. Teknologi semasa masih belum mampu menyelesaikan masalah masa pendam dengan sempurna.
Bateri
Setiap fon telinga diiklankan boleh bertahan selama 5 jam dan sehingga 18 jam dengan bantuan pod pengecas sekiranya ANC diaktifkan. Tempoh operasi fon telinga boleh meningkat ke 8 jam dan sehingga 28 jam dengan pod pengecas sekiranya ANC dinyahaktifkan. Ini adalah lebih pendek jika dibandingkan dengan Galaxy Buds Live (sehingga 20 jam + ANC) dan Galaxy Buds+ (22 jam)

Sungguhpun begitu ia masih lebih baik berbanding AirPods Pro yang bertahan 4.5 jam dengan ANC dan 5 jam tanpa ANC. Oleh sebab itu kami merasakan hayat bateri Buds Pro adalah memuaskan untuk TWS dengan ANC.
Waktu mengecas semula pod dengan fon telinga sepenuhnya adalah sekitar sejam sekiranya menggunakan pengecas berwayar menerusi port USB-C. Terdapat sokongan pengecasan nirwayar Qi tetapi kami tidak mengujinya kerana pastinya lebih perlahan.
Kesimpulan
Ini ialah fon telinga nirwayar terbaik pernah dihasilkan oleh Samsung setakat ini dan adalah TWS terbaik pernah kami uji sejak mula menguji kategori ini dua tahun yang lalu. Ia sebenarnya berjaya mengejutkan kami kerana kualiti audionya yang diuar jangkaan dan lebih memuaskan jika dibandingkan dengan fon telinga jenis earbuds lain di pasaran. Penggunaan dua pemandu audio dalam setiap putik benar-benar membuka dimensi baru pengalaman audio untuk fon telinga tahun ini.
Isu ANC kurang memuaskan pada Buds Live telah diselesaikan dan proses pemakaian juga lebih mudah. Pengenalan sistem Voice Detect dan Ambient Sound adalah benar-benar berguna dan bukanlah sekadar gimik murahan. Amatlah berguna untuk bercakap dengan insan di depan anda tanpa perlu menjeda muzik dan menanggalkan fon telinga secara manual.

Kekurangan terletak pada pad sesentuh yang kurang responsif dan ANC yang masih belum benar-benar mampu menapis hingar dari luar secara menyeluruh. Hayat baterinya juga tidak sebaik Buds+ apabila ANC diaktifkan. Ini isu yang ditemui pada kesemua fon telinga ANC di pasaran sekarang. Jika dimatikan sekalipun, ia masih sekitar separuh Buds+.
Samsung Galaxy Buds Pro dijual pada harga RM799 sebuah. Sebanyak RM100 lebih mahal berbanding Buds Live tetapi RM300 lebih murah berbanding AirPods Pro. Kami menyarankannya kepada mereka yang mencari sepasang TWS yang menawarkan audio yang tidak mengecewakan dan pelbagai ciri tambahan yang bukan sekadar gimik.
Pro
- Kualiti bunyi yang amat baik bagi fon telinga jenis earbuds
- Selesa dipakai walaupun bersaiz agak besar.
- Ciri Voice Detect amatlah berguna.
- Pod simpanan dan pengecas yang bersaiz kecil.
- Boleh digunakan pada pelbagai sistem operasi tanpa masalah.
- Hayat bateri yang memuaskan.
Kontra
- Kehilangan beberapa ciri Beta Lab yang disokong pada Buds+
- Pad sesentuh tidak begitu responsif.
- Tiada sokongan pada iOS.
- Hanya pembantu maya Bixby sahaja boleh diseru.
