Anda sedang mencari peranti pada bajet di bawah RM600? Samsung baru-baru ini telah membuka tirai tahun 2021 dengan penawaran dua peranti– salah satu daripadanya adalah Samsung Galaxy A02s. Peranti pintar ini hadir dengan spesifikasi kelas permulaan dan penawaran pada harga mampu milik adalah antara usaha yang cuba diberi perhatian oleh pihak Samsung.
Namun begitu, ia tidak begitu menekankan spesifikasi yang baik apabila dibandingkan dengan peranti yang dijual pada harga setara. Meskipun begitu, setiap peranti pintar pastinya mempunyai nilai kekuatan yang tersendiri. Begitu juga dengan Samsung Galaxy A02s ini. Jadi, di mana letaknya kekuatan pada peranti pintar ini? Teruskan membaca artikel ini :
Spesifikasi ringkas peranti
Samsung Galaxy A02s | |
---|---|
Skrin | 6.5″ PLS TFT LCD, HD+, 60Hz |
Pemproses | Snapdragon 450 (14nm) |
Cip | Octa-core 1.8 GHz Cortex-A53 |
Cip Grafik | Adreno 506 |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 64 Gigabyte (microSD 1TB) |
Kamera Utama | 13 + 2 + 2 Megapixel (f/2.2 + f/2.4 + f/2.4) |
Kamera Depan | 5 Megapixel (f/2.2) , 1080p @30fps |
Bateri | 5000mAh Pengecasan Pantas 15W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano + MicroSD |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM529 |
Rekaan
Kita mulakan dengan rekaan terlebih dahulu. Samsung Galaxy A02s membawakan rekaan yang agak sinonim dengan beberapa model di bawah siri galaxy A yang lain – terutamanya untuk rekaan pada panel belakang. Seperti yang boleh dilihat, peranti pintar ini menggunakan binaan sepenuhnya daripada polikarbonat bersama kemasan tekstur berjalur dengan rekaan ala-ala prism.
Memegang peranti ini buat kali pertama – binaannya boleh dikatakan agak tebal dan berat. Ia mungkin disebabkan oleh kapasiti baterinya yang besar. Sungguhpun begitu, ia masih lagi selesa dipegang. Ditambah pula dengan panel belakang bertekstur sebegini – secara tidak langsung mampu memberikan cengkaman cukup baik dan tidak mudah lolos dari genggaman pengguna.
Samsung Galaxy A02s bagaimanapun tidak mempunyai sokongan pengimbas cap jari – sama ada berbentuk fizikal mahupun terbina pada skrin. Sebaliknya, anda hanya diberikan pilihan fungsi imbasan wajah dan beberapa lagi tetapan sekuriti biasa yang lain. Misalnya, tetapan secara swipe, pattern, pin atau kata laluan.
Setakat yang kami gunakan, fungsi imbasan wajah ini dilihat memberikan tindak balas yang baik dan responsif. Kemudiannya, ia mampu untuk menyahkunci peranti pintar ini dengan pantas. Boleh dikatakan, fungsi ini lebih memudah pengguna jika nak dibandingkan dengan tetapan sekuriti biasa yang lain.
Untuk rekaan bahagian sisi pula, ia menempatkan butang kuasa dan laras suara pada bahagian sisi kanan peranti. Seterusnya, ia membawakan slot dwi-sim dan kad mikroSD secara berasingan pada bahagian sisi kiri. Untuk sambungan, Samsung Galaxy A02s menggunakan port berasaskan USB-C dan bicu audio 3.5mm yang diletakkan pada bahagian bawah bersama pembesar suara berasaskan mono.
Paparan
Seterusnya, bergerak pula ke paparan. Skrin bersaiz 6.5-inci digunakan bersama panel sejenis PLS TFT LCD. Kemudiannya, ia dipadankan lagi dengan resolusi HD+ (1600 x 720 piksel). Pada masa sama, panel hadapan ini turut menggunakan rekaan bertakuk kecil untuk perletakkan kamera hadapan – samsung menggelarkannya sebagai Infinity-V.
Apa yang boleh kami katakan, saiznya kelihatan baik. Di mana, ianya tidak terlalu besar dan selesa untuk penggunaan sebelah tangan. Sebenarnya, ia juga merupakan saiz standard yang biasa digunakan oleh sejumlah peranti pintar semasa. Tetapi, satu perkara yang kami perasan. Mungkin akan ada pihak yang akan berpendapat, peranti pintar ini agak ketinggalan kerana masih menyertakan takuk. Bagaimanapun, kami berpendapat hal ini mungkin bukan satu hal yang besar. Malah, rasanya bagi kebanyakan pengguna juga kewujudan takuk yang ketara ini tidak mendatangkan masalah.
Dari segi kualiti, skrinnya kelihatan baik-baik sahaja. Meskipun, resolusi yang digunakan adalah rendah. Tetapi, kualiti paparannya masih kelihatan terang bersama kontras warna yang baik. Bukan itu sahaja, sudut tontonan juga memuaskan apabila dilihat dari sudut berlainan. Kami juga perlu akui, segala kandungan yang terpapar boleh dilihat dengan jelas.
Namun begitu ianya adalah bersyarat iaitu selagi peranti pintar ini digunakan ketika indoor. Sebabnya, penggunaan peranti pintar ini secara outdoor mengakibatkan pengalaman untuk melihat kandungan agak terjejas. Bukan itu sahaja, malah skrin akan terus menjadi malap dan sukar untuk dilihat. Satu lagi isu yang kami temui adalah masalah ghost touch atau skrin yang mengesan sentuhan yang tidak dilakukan. Ia mungkin hanya berlaku pada unit di tangan kami.
Prestasi
Untuk spesifikasi dalaman, samsung galaxy a02s menggunakan pemproses yang sama seperti samsung galaxy a11 sebelum ini – menerusi janaan cip snapdragon 450. Ia membawakan cip lapan-teras, menerusi Octa-core 1.8 GHz Cortex-A53 bersama penggunaan GPU adreno 506. Ia bagaimanapun, dibekalkan memori lebih besar berbanding peranti berkenaan – iaitu 4GB ram dan storan dalaman 64GB (eMMC 5.1). Ruang ini juga boleh diperluaskan menerusi slot microSD khusus dengan had maksimum 1TB.
Kalau mahu bercakap soal prestasi, Samsung Galaxy A02s mampu menjalankan fungsi asas sebuah telefon pintar dengan baik. Penggunaan aktiviti yang paling asas – misalnya melayari web, bermedia sosial dan sebagainya. Peranti pintar ini mampu beroperasi dengan memuaskan. Cuma, ada ketikanya masalah lengah masa itu masih berlaku untuk sesetengah situasi. Misalnya, ketika kami sedang membuat tatalan, klik ada aplikasi atau menaip pada papan kekunci.
Apabila keadaan ini berlaku, ia mengakibatkan proses membuka aplikasi terasa agak lambat. Kemudiannya, proses tatalan juga agak terganggu dan tidak begitu lancar. Kebiasaanya, ia sering berlaku apabila terdapatnya beberapa aplikasi berat pada latar belakang. Walau bagaimanapun, keadaan sebegini rasanya sudah boleh dijangka untuk peranti dalam kelas sebegini.
Menyentuh mengenai prestasi permua, permainan intensif seperti PUBG atau Call Of Duty masih boleh dimainkan. Namun begitu, syarat untuk mendapatkan pengalaman permainan yang baik hanya pada tetapan grafik asas sahaja. Jika anda mengharapkan sesuatu yang lebih, kami hanya boleh katakan prestasinya adalah agak mengecewakan. Apa yang lebih memburukkan lagi keadaan adalah permainan agak tersangkut-sangkut dan tidak lancar untuk sesetengah keadaan. Untuk permainan Asphalt 9 pula, kami tidak mencubanya – kerana kami mendapati ianya tidak dijumpai di Google Play Store.
Berbeza pula ceritanya dengan permainan kasual – misalnya Candy Crush atau apa-apa permainan lain yang tidak memerlukan grafik tinggi. Ia boleh dimainkan dengan baik dan prestasinya memadai. Jelasnya di sini, Samsung Galaxy A02s ini tidak disyorkan buat anda yang mencari peranti pintar untuk permainan yang ekstrem. Sebaliknya, lebih bersesuaian untuk kegunaan biasa atau para ibu bapa yang sedang mencari peranti pintar bajet untuk anak-anak sebagai alat pembelajaran.
Kamera
Samsung Galaxy A02s menggunakan sistem tri-kamera utama dengan konfigurasi 13-Megapixel (utama) dan 2 lagi lensa 2-Megapixel untuk sensor kedalaman dan makro. Kemudian, tangkapan gambar swafoto pula boleh diambil menerusi lensa hadapan 5-Megapixel.
Dari segi prestasi, hasil tangkapan gambar menggunakan peranti pintar ini dilihat sekadar baik-baik sahaja untuk kebanyakan situasi harian. Tetapi, syaratnya ianya diambil pada pencahayaan yang cukup. Cumanya, ketajaman warna yang agak sederhana untuk sesetengah situasi membuatkan hasil gambar kelihatan terlalu neutral dan kurang menyerlah. Namun begitu, ia masih memadai untuk penggunaan harian biasa.
Seterusnya, hasil tangkapan pada pencahayaan rendah juga kurang memuaskan. Di mana, butiran pada imej dilihat kurang memuaskan dengan kesan hingar yang ketara. Bukan itu sahaja, warna juga kurang menyerlah dan agak kelam. Sebelum terlupa, Samsung Galaxy A02s tidak dilengkapi mod malam terbina secara khusus. Bergerak ke lensa makro, hasilnya juga tidak begitu terperinci. Ia bagaimanapun, bukan satu hal yang mengejutkan. Bahkan, sudah boleh dijangka utuk hasil tangkapan daripada sensor makro 2-Megapixel.
Bagi anda yang ingin merakam video pula, Samsung Galaxy A02s boleh merakam pada tetapan maksimim 1080p/30fps – untuk kegunaan rakaman video pada kedua-dua belah kamera. Tetapi, ia bagaimanapun tidak pula mempunyai sebarang sokongan untuk penstabilan.
Bateri :
Samsung Galaxy A02s dibekalkan bateri berkapasiti 5,000mAh yang hanya menyokong pengecasan pada kadar 15W. Sokongan bateri pada peranti ni dilihat mampu bertahan dengan bacaan SOT yang baik – iaitu sekitar 9 jam dan keatas. Ia adalah untuk penggunaan sepanjang hari – termasuklah kami menggunakannya untuk melayari web, menonton video di YouTube, bermedia sosial, menangkap gambar, bermain permua dan sebagainya. Akan tetapi, keadaan ini pastinya akan berubah. Ia bergantung juga pada penggunaan pengguna. Misalnya, ia juga mampu bertahan lebih daripada satu hari suntuk untuk penggunaan peranti yang tidak kerap.
Perbandingan Pesaing Peranti
Samsung Galaxy A02s | Realme C15 | Oppo A15 |
6.6.5″ PLS TFT LCD, HD+, 60Hz (270 PPI) | 6.5″ IPS LCD, HD+, 60Hz (270 PPI) | 6.52″ IPS LCD, HD+, 60Hz (269 PPI) |
Snapdragon 450 (14nm) Octa-core 1.8 GHz Cortex-A53 | Snapdragon 460 (11 nm) 4 x 1.8 GHz Kryo 240 4 x 1.6 GHz Kryo 240 | MediaTek Helio P35 (12nm) 4 x 2.35 GHz Cortex-A53 4 x 1.8 GHz Cortex-A53 |
Adreno 506 | Adreno 610 | IMG PowerVR GE8320 |
4 Gigabyte | 4 Gigabyte | 3 Gigabyte |
64 Gigabyte | 64 / 128 Gigabyte | 32 Gigabyte |
Kamera Utama : 13 MP (f/2.2) – (utama) 2 MP (f/2.4) – (Makro) 2 MP (f/2.4) – (Kedalaman) | Kamera Utama : 13MP (f/2.2) – (Utama) 8MP (f/2.25) – (Ultra Lebar) 2MP (f/2.4) – (B&W) 2MP (f/2.4) – (Retro) | Kamera Utama : 13MP (f/2.2) – (Utama) 2MP (f/2.4) – (Kedalaman) 2MP (f/2.4) – (Makro) |
Kamera Hadapan 5-Megapixel f/2.2 | Kamera Hadapan 8-Megapixel (f/2.0) | Kamera Hadapan 8-Megapixel (f/2.0) |
Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air |
Bicu Audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Black, Blue | Seagull Silver, Marine Blue | Fancy White, Dynamic Black |
5,000mAh (Pengecasan 15W) | 6,000mAh (Pengecasan 18W) | 4,230mAh (Pengecasan 10W) |
RM529 | Bermula RM599 | RM499 |
Kesimpulan :
Sebagai kesimpulannya di sini, Samsung Galaxy A02s tidak direka untuk anda yang mahukan sebuah peranti yang berkuasa. Sebaliknya, ia lebih bersesuaian untuk kegunaan harian dan fungsi asas sahaja. Contoh terdekat yang seperti kami katakan pada beberapa perenggan awal – iaitu para ibu bapa yang mencari peranti pintar buat anak-anak untuk dijadikan alat pembelajaran. Pun begitu, dengan harga seperti ini. Rasanya, anda masih mempunyai sejumlah pilihan lebih berbaloi bersama aspek spesifikasi lebih baik. Seperti biasa, pilihan di tangan masing-masing dan tentukan keperluan anda yang sebenarnya.
Pro :
- Selesa dipegang walaupun agak tebal.
- Kemampuan kamera yang baik bagi peranti kelas permulaan.
- Sekadar baik untuk kegunaan harian, bukan permua yang ekstrem.
- Ketahanan bateri memuaskan.
- Hadir dengan fungsi dwi-sim dan sokongan microSD
Kontra :
- Resolusi skrin hanya HD+.
- Pengecasan terhad pada kadar 15W.
- Hasil gambar pada pencahayaan rendah yang mengecewakan.