Pistol telah ditembak pagi tadi bagi memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Tanggal 26 Februari 2021 akan menjadi tarikh yang penting dalam pertempuran kita dengan virus yang telah meragut lebih 700 individu di Malaysia dan lebih 3 juta di peringkat global. Persoalan orang ramai sekarang ialah bagaimana untuk mendapatkan vaksin ini dan jawapannya telahpun dikongsi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Di Malaysia 605 lokasi telah dikenalpasti sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan 54 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara. Yang lebih penting ialah proses bagaimana untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin serta proses yang akan dilalui semasa hari yang ditetapkan juga telah dikongsi.
Pendaftaran akan dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera, laman sesawang khas, talian hotline, klinik kesihatan dan program bantuan KKM sendiri. Selepas pendaftaran, setiap individu akan menerima tarikh temu janji dan lokasi PPV. Antara yang menarik ialah penerima vaksin akan diletakkan di bawah tempoh pengawasan selama 30 minit untuk melihat sama ada mereka menunjukkan sebarang reaksi negatif.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Perdana Menteri akan menjadi penerima pertama vaksin diikuti pula oleh petugas barisan hadapan, menteri dan ahli parlimen. Program vaksinasi untuk orang awam akan dimulakan April hadapan dengan kepentingan diberikan kepada warga emas dan insan berisiko tinggi.