Permainan video menjadi portal untuk berinteraksi dengan teman-teman secara atas talian kerana amat sukar untuk menemui mereka ketika zaman pandemik. Apa yang kami sedari ialah aksesori audio yang baik adalah perlu bagi memastikan perbualan yang terang dapat dinikmati ketika sesi permainan video. Semalam Micorosft melancarkan Xbox Wireless Headset mereka yang dikatakan memenuhi kriteria ini.

Fon kepala nirwayar ini menyokong tambatan secara bluetooth pada konsol, telefon pintar dan juga PC. Meminjam dari Surface Headphone 2, Xbox Wireless Headset dilengkapi tombol laras suara pada cawan telinga yang membolehkan pemakai mengawal audio dari permainan dan audio dari aplikasi chat. Sebuah mikrofon disediakan dengan tangkai yang boleh disorok apabila tidak digunakan.

Seperti kesemua fon kepala nirwayar moden, ia boleh ditambat kepada dua peranti serentak. Tiada sokongan sambungan berwayar disokong pada waktu ini. Panggilan telefon masih boleh dijawab walaupun ketika pemakai sedang giat menghambat musuh di alam siber. Dengan sekali caj, Xbox Wireless Headset boleh beroperasi sehingga 15 jam. Sepasang fon kepala ini dijual pada harga $99.99 (~RM404).