Dua komputer riba tablet baharu Surface Book 3 dan Surface Go 2 telah dilancarkan sebentar tadi secara mengejut of Microsoft. Bagi melengkapi ekosistem Microsoft hari ini, dua lagi aksesori audio nirwayar turut dilancarkan iaitu Surface Headphones 2 dan Surface Earbuds.
Surface Headphones 2 mengekalkan rekaan minimalis moden fon kepala nirwayar generasi pertama. Ia masih lagi mempunyai tombol kawalan berputar pada bahagian mangkuk telinga yang boleh digunakan untuk melaras kekuatan audio dan sistem pembatalan hingar. Satu perubahan besar yang dilakukan ialah mangkuk telinga kini boleh diputarkan 180 darjah untuk kegunaan DJ.
Ketahanan bateri juga lebih baik sehingga 20 jam dengan sekali caj. Kali ini juga Surface Headphones 2 ditawarkan dalam warna hitam serta warna asal klasik platinum. Sepasang fon kepala ini dijual pada harga $249 (~RM1077).
Seterusnya ialah Surface Earbuds yang telah ditangguhkan jualannya sebelum ini. Ia adalah dari jenis earbuds dengan pad kawalan sesentuh pada permukaan luar. Terdapat sokongan melancarkan Spotify secara automatik dengan melakukan tri-tap. Terdapat sokongan pengecasan secara nirwayar menggunakan format Qi. Dengan sekali caj fon telinga ini boleh beroperasi sehingga 24 jam. Sepasang Surface Earbuds ditawarkan pada harga $199 (~RM860).