Cari @ Amanz

Microsoft Surface Go 2 Hadir Dengan Paparan Lebih Besar Dan CPU Lebih Berkuasa

Oleh Nazrin

Link Copied!

Apabila tablet Microsoft Surface Go dilancarkan sekitar dua tahun lalu, ia adalah satu-satunya peranti Surface mampu milik yang hadir dengan spesifikasi yang mencukupi untuk melakukan tugas-tugas ringkas setiap hari.

Bersama-sama dengan pengumuman peranti Surface Book 3, Microsoft turut memperkenalkan Microsoft Surface Go 2, siri kedua tablet produktiviti mampu-milik mereka.

Surface Go 2 kini hadir dengan paparan bersaiz 10.5 inci yang sedikit lebih besar berbanding model sebelum ini sementara mengekalkan resolusi 1800×1200.

Kali ini, pengguna mempunyai pilihan CPU tambahan selain daripada Intel Pentium Gold 4425Y ataupun Intel Core m3 generasi kelapan yang dikatakan 64 peratus lebih pantas berbanding dengan CPU Pentium yang dinyatakan.

Dari segi spesifikasi lain, Surface Go 2 juga hadir dengan pilihan memori DDR4 sebanyak 4GB ataupun 8GB dan storan eMMC 64GB ataupun SSD 128GB bergantung kepada model yang dipilih.

Sama dengan model Surface Go sebelum ini, tablet ini juga dilengkapi dengan satu palam USB Type-C dan pembaca kad microSDXC untuk membaca media storan.

Satu ciri tambahan yang cukup menarik ialah sokongan untuk LTE jika pengguna memerlukan sebuah peranti yang sentiasa bersambung ke internet.

Sama seperti Surface Book 3, Microsoft Surface Go 2 boleh mula ditempah di rantau Amerika pada harga $399 untuk model asas dengan CPU Intel Pentium dan memori 4GB. Harga yang diberi hanyalah untuk tablet sahaja. Aksesori papan kekunci, tetikus dan pena stylus masih dijual secara berasingan.

Buat masa ini ia masih tidak diketahui bilakah ia akan memasuki pasaran tempatan.


Komen ()