Setelah sekian lama berteka-teki, akhirnya Realme berkongsi maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi untuk peranti permua terkini mereka yang menjadi bualan ramai ketika ini. Peranti berkenaan adalah Realme GT yang dikhabarkan bakal menggunakan cip Snapdragon 888 dengan binaan 5nm.

Memetik hantaran Realme menerusi laman Weibo, peranti berkenaan disahkan hadir secara rasmi pada 4 Mac 2021 kelak dalam sebuah acara pelancaran yang diadakan di China. Hantaran berkenaan bagaimanapun tidak pula mendedahkan secara terperinci rekaan pada peranti. Namun, desas-desus mengatakan ianya akan hadir dengan rekaan serba baharu yang menampilkan pilihan kemasan berasaskan kaca dan juga kulit.
Seterusnya, peranti ini juga dipercayai menggunakan panel paparan sejenis AMOLED dan sokongan pengimbas cap jari pada skrin. Ia turut dikhabarkan dilengkapi memori 12GB RAM (LPDDR5), menjalankan Realme UI 2.0 berasaskan Android 11, kamera utama 64MP + 13MP + 13MP dan pengecasan yang lebih pantas.