ZTE Axon 20 5G merupakan peranti pintar pertama dengan rekaan kamera swafoto disebalik skrin yang ditawarkan secara komersial kepada pengguna. Dari satu sudut, ia boleh dikatakan baik kerana mampu mengatasi masalah gangguan berkaitan tontonan media. Namun di sebalik ini, ramai yang mempersoalkan mengenai kualiti rakaman swafotonya.
Terkini, DxoMark telah mengemaskini laporan di laman mereka dengan berkongsi mengenai keupayaan kamera swafoto peranti ini. Melaluinya, ia memperlihatkan ZTE Axon 20 5G sekadar menerima skor sebanyak 26 mata. Melalui kutipan ini, ia mencatatkan 10 mata untuk kemampuan fotografi, manakala 51 mata pula untuk kemampuan video. Ia dilihat menerima lebih banyak kritikan berbanding pujian.
Di mana, ia memiliki julat dinamik yang terhad. Seterusnya, kritikan juga diberikan kepada mod bokeh yang kurang baik, penghasilan semula warna yang tidak memuaskan, hingar yang ketara hampir dalam semua keadaan (foto dan video) serta penstabilan yang tidak memuaskan. Ia bagaimanapun, dikatakan mempunyai aufokus yang pantas dan tiada masalah dedahan berlebihan dapat dilihat pada hasil gambar.