Redmi K40 adalah antara peranti dari Xiaomi yang turut dinantikan ramai. Lebih-lebih lagi kalau ia sekali lagi dijual sebagai Poco untuk pasaran global. Siri Redmi K setakat ini sering memberikan spesifikasi yang hebat dengan harga yang tidak koyak poket. Siri Redmi K40, iaitu Redmi K40 dan Redmi K40 Pro kedua-duanya adalah peranti mercu dan akan dilancarkan pada 25 Februari ini.
Baru-baru ini, Redmi telah berkongsi poster dengan duta peranti serta imej sebenar peranti. Kedua-dua rekaan dan spesifikasi adalah lebih kurang sama, jadi tidak pasti sama ada gambar yang dikongsi adalah versi Pro atau biasa. Panel belakang dilihat berwarna hitam dengan corak yang unik. Ada yang katakan ini adalah Black Edition untuk Redmi K40. Modul kamera juga mirip dengan Mi 11, tetapi susunan lensa adalah berbeza.
Redmi K40 Pro akan dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 888, tetapan kuad-kamera yang tertiris sebelum ini adalah 108-Megapixel + 13-Megapixel + 5-Megapixel + 2-Megapixel, pilihan memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman yang mencapai 256GB dan bateri berkapasiti 5,000mAh.
Redmi K40 pula dijangka akan dilengkapi dengan cip pemprosesan Snapdragon 870, tetapan kamera yang lebih kurang sama – tetapi lensa 13MP mungkin akan digantikan dengan 8MP, kemudian pilihan memori terhad kepada 6GB RAM dengan storan dalaman mencapai 128GB sahaja.
Untuk Remdi K40, mereka telah mengesahkan yang kapasiti bateri adalah 4520mAh. Sistem pengecasan mungkin kekal dengan 33W. Tetapi kehebatan K40 ini turut terlihat pada bahagian skrin, kerana dikatakan menggunakan panel AMOLED Samsung E4 – yang boleh memberikan sokongan 120Hz, skrin rata, serta HDR10+.
Harga jualan versi Pro pasti akan lebih murah dari Mi 11. Jadi, sama-sama kita nantikan pelancarannya pada 25 Februari ini.