Tahun 2020 merupakan tahun dimana kita melihat penggunaan internet melonjak secara mendadak tidak kira internet sambungan jalur lebar ataupun mudah alih.
Diantara laporan yang keluar juga memperlihatkan bahawa Maxis dan Celcom kedua-duanya memperlihatkan penambahan dari segi bilangan pengguna pada tahun tersebut.

Terkini, sebuah laporan baru daripada nPerf mengatakan bahawa Maxis adalah rangkaian dengan perkhidmatan internet 4G paling pantas dan stabil pada tahun 2020 berdasarkan ujian piawaian dan berdasarkan sentimen pengguna.
Menurut nPerf, Maxis hadir dengan purata kelajuan muat-turun internet paling tinggi pada kadar 15.4Mbps dengan Digi di tempat kedua pada 11.97Mbps. Celcom pula di tempat ketiga dengan kelajuan 8.16Mbps

Kadar muat-naik data turut dikuasai oleh Maxis dengan purata kelajuan muat-naik 6.32Mbps. U Mobile di tempat kedua dengan kelajuan 5.44Mbps dan Celcom di tempat ketiga dengan kelajuan muat-naik 5.32Mbps. Maxis juga mencatatkan skor tertinggi untuk pembekal internet dengan kualiti penstriman terbaik.

Dari segi pelayaran web pula, Unifi dilihat memuat 5 laman web yang paling dilayari laman web Malaysia pada kadar yang terpantas. Di tempat kedua ialah Maxis dan diikuti oleh Celcom.
nPerf juga telah memperlihatkan skor untuk pelbagai jenis ujian seperti kualiti sambungan ke rangkaian 4G dan LTE, kualiti kadar muat-turun data bulanan dan sebagainya.

Menurut mereka lagi, data yang dikumpul adalah dari 296,755 ujian yang dilakukan sepanjang 2020 menggunakan aplikasi penanda-aras internet nPerf sendiri pada pelbagai platform.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai skor dan ujian-ujian nPerf ini, anda boleh ke laman web ini.