Android 12 baru sahaja diperkenalkan, tetapi ia masih lagi dalam fasa pembangunan awal dan terhad kepada pengguna Google Pixel 3 dan ke atas sahaja. Sementara menantikan kemaskini baharu ini, Google telah memperkenalkan enam fungsi dan ciri baharu untuk sistem operasi Android yang akan ditawarkan kepada pengguna Android 11 dan ke bawah.
1. Password Checkup
Bagi yang tidak tahu, sistem operasi Android sudah pun mempunyai fungsi penyimpanan butiran nama pengguna dan kata laluan. Ia terhad kepada peranti dengan sistem GMS sahaja, yang mana ia turut berfungsi sebagai fungsi auto-isi agar memudahkan pengguna log masuk ke sesuatu laman web atau aplikasi.
Terkini untuk peranti Android 9.0 dan ke atas, Google memperkenalkan Password Checkup – yang mana setiap kali nama pengguna dan kata laluan diisi melalui fungsi auto-isi Google akan menyemak sama ada butiran pengguna telah terdedah atau tersebar atau pun tidak. Amaran akan diberikan untuk pengguna kemaskini kata laluan.
2. Menjadualkan Mesej Google Message
Sejak bulan November tahun lepas, Google telah menguji kemampuan menjadualkan mesej untuk aplikasi permesejan Google Message. Terkini untuk kemaskini yang dijangka akan diedarkan pada sekitar bulan Mac ke Jun, fungsi ini akan diperkenalkan kepada umum.
Menurut Google, lebih setengah bilion pengguna menggunakan Google Message. Dengan memperkenalkan fungsi ini, ia memudahkan pengguna dari pelbagai negara dengan zon masa berbeza berhubung antara satu sama lain. Mungkin keluarga yang jauh, kekasih yang belajar di negara lain dan sebagainya. Ia akan ditawarkan untuk pengguna Android 7.0 dan ke atas.
3. TalkBack Kini Hadir Dengan Kawalan Gestur Untuk Pengguna OKU Penglihatan
Google TalkBack adalah aplikasi untuk pengguna kurang upaya. Ada banyak fungsi dan ciri menarik, seperti untuk mereka yang kurang daya penglihatan melalui papan kekunci Braille.
Terkini ia dikemaskini dengan bantuan komuniti yang buta dan kurang daya penglihatan ini untuk memberikan pengalaman penggunaan lebih baik. Ia kini mempunyai kawalan gestur yang lebih intuitif, menu yang lebih mesra, kawalan yang akan menyiarkan suara untuk bantuan dan banyak lagi.
4. Lebih Banyak Kawalan Google Assistant Melalui Kunci Skrin
Google Assistant adalah pembantu digital Google yang amat berguna. Ia boleh mendengar arahan pengguna, melalukan tugasan seperti kawalan peranti berhubung, dan banyak lagi. Tetapi apabila skrin peranti dikunci, ia mempunyai penggunaan yang terhad.
Hanya dengan berikan arahan “Hey Google, set an alarm” atau “Hey Google, play pop music on Spotify.” atau juga “Hey Google, send text messages to … <atau >make calls to…” dari kunci skrin untuk memulakan penggunaan.
5. Google Maps Kini Mempunyai Sokongan Tema Gelap
Sudah bertahun lamanya Google memfokuskan kepada tema gelap pada sistem operasi Android untuk penggunaan kuasa yang kurang dan boleh menjimatkan bateri peranti pengguna. Bukan itu sahaja, dengan semakin banyak peranti yang menggunakan skrin lebih besar, cerah atau hebat – mata akan menjadi sakit.
Kini mod tema gelap ditawarkan kepada Google Maps. Agar lebih mudah dan selesa digunakan pengguna. Setelah biasa dengan banyak aplikasi Google lain dengan gelap, pengguna mungkin tidak akan terkejut lagi melihat Google Maps dengan tema cerah.
6. Pengalaman Penggunaan Android Auto Yang Lebih Baik
Untuk pengguna Android 6.0 dan ke atas, Android Auto kini menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik. Antaranya adalah sokongan gambar latar yang boleh dipilih pengguna, boleh bermain permainan seperti trivia atau kuiz ketika perjalanan jauh seperti yang disokong pada peranti pintar Google Assistant.
Sokongan split-screen turut diperkenalkan untuk tujuan multi-tugasan. Tetapi ia terhad kepada pengguna dengan inforia yang mempunyai skrin lebar. Ia adalah untuk peta dan kawalan media. Skrin privasi juga ditawarkan untuk kawalan notifikasi agar penumpang tidak boleh baca. Ikon Android Auto turut akan ditawarkan pada skrin utama peranti.
Semua kemaskini ini adalah untuk peranti Android 11 dan ke bawah. Ia adalah kemaskini besar sebelum Android 12 diedarkan. Ia akan ditawarkan pada musim bunga, iaitu sekitar bulan Mac dan Jun. Peranti Pixel dan Samsung mungkin akan menerimanya terlebih dahulu. Peranti jenama lain perlu bergantung kepada pengeluar, betapa pantas mereka mengedarkan kemaskini.