Cari @ Amanz

Selain daripada siri Realme Narzo 30, jenama ini turut memperkenalkan TWS terkini mereka – iaitu Realme Buds Air 2. Lebih menariknya, Realme turut bekerjasama dengan The Chainsmokers untuk pengenalan aksesori audio ini, sekaligus menjanjikan pengalaman penggunaan lebih baik berbanding sebelumnya.

Dari segi rekaan, ia kelihatan mirip dengan Realme Buds Air Pro sebelum ini – dengan rekaan fon jenis dalam telinga bertangkai dan pod pengecas yang berbentuk bujur. Realme Buds Air 2 turut dilengkapi sokongan kawalan sesentuh untuk pengguna mengawal akses pintas dan ciri-ciri lain – seperti sistem pembatalan hingar aktif (ANC) dan Transparency Mode.

Kemudian, fon telinga ini juga dilengkapi pemandu audio sebesar 10mm dan setiap daripadanya disertakan dua mikrofon untuk sokongan panggilan lebih baik. Tambatan pula dilakukan menerusi bluetooth 5.2 untuk sambungan yang stabil dan turut menyokong pelindungan IPX5. Menurut Realme, fon telinga ini juga boleh berfungsi selama lima jam berterusan dengan pod pengecas menambah 25 lagi jam.

Spesifikasi lain termasuklah – Cip R2 terbina di dalam pod pengecas yang menyokong tambatan pantas Google Fast Pair. Seterusnya, sokongan Game Mode yang dipertingkatkan dengan latensi 88ms. Di India, Realme Buds Air 2 dijual pada harga INR3,299 (~RM185) dengan pilihan warna hitam dan putih.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd