Pandemik Covid-19 bukan sahaja merunsingkan ramai pihak, tetapi secara tidak langsung turut mengubah gaya hidup sosial sesama manusia. Ekoran daripada itu, bermulalah fenomena bekerja daripada rumah, pembelajaran serta pengajaran secara konvensional tertangguh dan banyak lagi.
Akibatnya, orang ramai kini lebih didedahkan dengan aktiviti atas talian – di mana, mesyuarat, kelas dan sebagainya perlu dilakukan secara atas talian. Dari satu sudut, ia mungkin boleh dikatakan baik kerana membawa kepada transformasi cara kehidupan baharu. Namun di sebalik ini, ramai yang mempersoalkan mengenai privasi dan keselamatan – terutamanya melibatkan anak-anak yang belajar secara atas talian.
Perkara ini memberi kesan kepada majoriti para ibu bapa termasuk di Malaysia sendiri dan antara yang membangkitkan kebimbangan utama mereka adalah isu-isu seperti penipuan dan penggodaman akaun; anak-anak menerima perhatian yang tidak diingini dari orang yang tidak kenali; dan anak-anak menonton kandungan dalam talian yang tidak sesuai.
Oleh itu, Google berkongsi 3 tips keselamatan yang boleh diambil oleh para ibu bapa bagi melindungi privasi anak-anak – sekaligus membolehkan mereka menikmati pengalaman atas talian dengan lebih selamat.
1) Lindungi Identiti Digital Anak-Anak
Langkah ini boleh dibuat dengan cara bantu anak-anak mencipta kata laluan yang kukuh di pelantar yang mempunyai reputasi selamat buat pengguna. Ia bagi mengelakkan anak-anak menjadi mangsa jenaya alam siber. Jika boleh, galakkan anak-anak untuk elak daripada penggunaan kata laluan yang sama untuk sejumlah platform komunikasi.
2) Ketahui Dengan Siapa Anak-anak Berinteraksi
Sebagai ibu bapa, anda seharusnya peka dan perlu tahu dengan siapa anak-anak berkawan atau di mana mereka kerap menghabiskan masa ketika melakukan aktiviti dalam talian. Pada masa sama, ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak untuk lebih berhati-hati ketika berkongsi di fungsi sembang terbuka dalam media sosial atau permainan dalam talian. bu bapa yang bertanggungjawab akan berusaha memantau segala tingkah laku dan aktiviti anak-anak bagi memastikan mereka kekal selamat.
3) Kandungan Harus Bersesuaian Dengan Umur
Ibu bapa perlu berkongsi dan memilih kandungan, video serta saluran yang bersesuaian dengan umur anak-anak. Perkara ini adalah sangat penting bagi mengelakkan anak-anak daripada menonton kandungan yang tidak bermoral. Ibu bapa juga boleh menggunakan ciri-ciri keselamatan keluarga untuk membantu mengawal anak-anak daripada kandungan yang mungkin kurang sesuai untuk mereka – seperti ciri SafeSearch dan Family Link di Google dan kawalan ibu bapa di YouTube Kids.
Oleh itu, isu keselamatan anak-anak terutamanya melibatkan aktiviti dalam talian adalah perkara yang sepatutnya dititikberatkan oleh para ibu bapa. Ia menjadi tanggungjawab penting para ibu bapa untuk memantau apa yang anak-anak lakukan dalam talian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah alam siber